Subway Malaysia Raikan Restoran Ke-400, Buka Cawangan Dalam Stesen MRT Pertama Di Bukit Bintang

October 8, 2026
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Subway Malaysia kini mencapai satu lagi pencapaian penting dengan pembukaan restoran ke-400 di Malaysia, yang turut menandakan kehadiran pertama jenama itu di dalam stesen MRT menerusi cawangan baharu di MRT Bukit Bintang.

Pembukaan ini bukan sahaja menambah jumlah rangkaian restoran Subway di Malaysia, malah membawa jenama tersebut ke salah satu hab pengangkutan utama di Kuala Lumpur.

Lokasi ini turut melengkapkan rangkaian Subway yang sebelum ini hadir dalam pelbagai format, termasuk restoran konvensional, kiosk dan pandu lalu.

Subway Malaysia memulakan operasinya di negara ini pada 1999 menerusi restoran pertamanya di Ampang Point.

Selepas lebih dua dekad, rangkaian tersebut kini berkembang kepada 400 restoran di semua negeri dan 108 bandar di Malaysia.

Menariknya, Malaysia turut menempatkan restoran Subway terbesar di Asia Pasifik dari segi saiz, dengan keluasan kira-kira 4,000 kaki persegi. Restoran tersebut ialah Subway Alam Damai yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.

Perkembangan ini turut disokong oleh 85 pemegang francais utama serta lebih daripada 2,400 kakitangan di seluruh negara. Selain itu, sekitar 73% bahan ramuan yang digunakan oleh Subway Malaysia diperoleh daripada sumber tempatan.

Mengenai cawangan mereka di MRT Bukit Bintang ini juga, Subway turut memperkenalkan sistem pesanan self-checkout yang membolehkan pengunjung membuat pesanan secara sendiri melalui mesin yang disediakan, selain turut boleh melakukan pembayaran terus tanpa perlu beratur di kaunter.

Bergerak ke hadapan, Subway turut akan memperkenalkan sistem pesanan secara remote yang membolehkan pelanggan membuat pesanan lebih awal sebelum tiba di restoran. Dengan sistem ini, pelanggan boleh memilih menu dan membuat pesanan terlebih dahulu, sekaligus memudahkan proses pengambilan makanan apabila tiba di cawangan.

Bagi meraikan pencapaian tersebut, Subway Malaysia turut memperkenalkan kempen “400 Restaurants. Built Together.” yang mengajak orang ramai mengambil bahagian secara langsung dalam sambutan restoran ke-400.

Menerusi kempen ini, orang ramai boleh menyumbang kepada pemasangan jigsaw yang terdiri daripada 400 keping dan dibentuk menyerupai sandwic Subway.

Setiap keping yang ditambah secara berperingkat menggambarkan perjalanan Subway Malaysia dalam membina rangkaian 400 restorannya bersama pelanggan di seluruh negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd