PROTON X50 Sport Edition Kini Dibuka Untuk Tempahan, Tampil Dengan 15 Kemasan Eksklusif

October 8, 2026
Automotif

Lina Rosli

PROTON kini membuka tempahan untuk All-New PROTON X50 Sport Edition (SE) sempena ulang tahun keenam pelancaran X50 di Malaysia.

Berdasarkan varian flagship, X50 Sport Edition hadir dengan 15 kemasan eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman yang memberikan penampilan lebih sporty dan menyerlah.

Antara kemasan luaran yang ditampilkan ialah penggunaan elemen serba hitam seperti:

  • Black Front Upper Garnish
  • Black Front Side Port Trim Garnish
  • Black Lower Bumper Garnish
  • Black Rear Side Port Trim Garnish

Model ini turut dilengkapi rim aloi 18 inci berwarna hitam, skirt hadapan, sisi dan belakang serta lencana khas Sport Edition.

Bahagian kabin pula menampilkan kemasan hitam dengan jahitan merah pada stereng dan tempat duduk.

Tempat duduk hadapan turut menerima sulaman Sport Edition, manakala perincian Sport Edition pada lantai dilengkapi alas lantai TPE yang lebih ringan, fleksibel dan cepat kering.

Selain penampilan, komponen tambahan pada X50 Sport Edition turut menjalani lebih 13,700 jam ujian bagi memastikan ketahanan terhadap penggunaan harian, kakisan, sinaran UV serta keadaan cuaca tropika Malaysia.

Dari segi prestasi, X50 Sport Edition mengekalkan enjin 1.5 liter empat silinder turbo bersama transmisi 7-kelajuan DCT, yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm tork.

SUV ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.6 saat, dengan penggunaan bahan api sekitar 6.1 liter/100 km.

X50 Sport Edition turut dilengkapi skrin inforia 14.6 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, PROTON Link 2.0 serta arahan suara ‘Hi PROTON’ dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Untuk keselamatan, model ini menawarkan 15 ciri Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) termasuk Auto Park Assist dan kamera HD 360 darjah dengan paparan 180 darjah Transparent View.

PROTON X50 Sport Edition kini dibuka untuk tempahan di semua pengedar sah PROTON di seluruh negara. Harga rasmi model ini bagaimanapun masih belum diumumkan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd