Obesiti Bukan Sekadar Isu Berat Badan, Ini Pilihan Rawatan Yang Perlu Diketahui
Lina Rosli
Pepatah yang mengatakan bahawa seseorang ialah apa yang dimakannya sering dikaitkan dengan pengurusan berat badan.
Bagi kebanyakan orang, usaha menurunkan berat badan melibatkan perubahan corak pemakanan, aktiviti fizikal dan tabiat harian. Namun, bagi sesetengah individu, usaha ini tidak semudah yang disangka.
Obesiti ialah keadaan kesihatan kronik yang kompleks. Faktor biologi yang mempengaruhi selera makan, metabolisme dan kawalan berat badan boleh menyebabkan seseorang sukar menurunkan berat badan atau mengekalkan penurunan tersebut untuk jangka panjang.

Dalam keadaan tertentu, perubahan gaya hidup sahaja mungkin tidak mencukupi. Oleh itu, rawatan tambahan seperti ubat-ubatan preskripsi untuk pengurusan berat badan atau pembedahan bariatrik boleh dipertimbangkan berdasarkan keadaan kesihatan dan keperluan individu.
Dr Mak Woh Wei, Pakar Perubatan dan Pakar Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), menjelaskan bahawa rawatan obesiti perlu disesuaikan dengan keadaan setiap pesakit.
Menurut beliau, pilihan rawatan mungkin merangkumi ubat-ubatan antiobesiti seperti ubat berasaskan GLP-1 atau pembedahan bariatrik bagi pesakit yang mengalami obesiti lebih teruk dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Rawatan ini bukan pengganti kepada gaya hidup sihat. Sebaliknya, ia boleh digabungkan dengan pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan perubahan tingkah laku untuk membantu pesakit menurunkan berat badan dengan lebih berkesan serta mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, apnea tidur dan masalah kardiovaskular.

Ubat GLP-1 Untuk Pengurusan Berat Badan: Apa Yang Perlu Diketahui?
Ubat berasaskan GLP-1 semakin mendapat perhatian susulan perbincangan mengenainya di media sosial dan dalam kalangan masyarakat. Namun, penggunaannya untuk pengurusan berat badan perlu difahami dengan betul dan tidak seharusnya dianggap sebagai jalan pintas untuk kurus.
Pakar menjelaskan bahawa GLP-1 ialah hormon semula jadi yang dihasilkan oleh tubuh, khususnya selepas makan. Hormon ini membantu mengawal selera makan dan paras gula dalam darah.
Ubat yang bertindak melalui laluan GLP-1 membantu meningkatkan kesan hormon tersebut.
Antaranya, ubat ini boleh membuatkan seseorang berasa kenyang lebih lama, mengurangkan rasa lapar dan keinginan untuk makan serta memperlahankan pergerakan makanan keluar dari perut.
Ubat ini juga membantu mengawal paras gula dalam darah dengan meningkatkan pengeluaran insulin apabila paras gula meningkat, di samping mengurangkan pelepasan hormon glukagon yang boleh menaikkan paras gula dalam darah.

Walau bagaimanapun, ubat GLP-1 bukan untuk semua orang. Sebelum rawatan dimulakan, doktor perlu menilai beberapa faktor, termasuk indeks jisim badan (BMI), keadaan kesihatan sedia ada, ubat-ubatan yang sedang diambil, sejarah perubatan dan matlamat rawatan.
Penggunaan ubat ini juga perlu disertai perubahan gaya hidup. Pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, tidur yang mencukupi dan sokongan untuk mengubah tabiat harian masih penting bagi membantu seseorang menguruskan berat badan dalam jangka panjang.
Seperti ubat-ubatan lain, rawatan GLP-1 boleh menyebabkan kesan sampingan. Antaranya termasuklah:
- loya
- muntah
- cirit-birit
- sembelit
- ketidakselesaan perut
- rasa terlalu kenyang
Gejala ini boleh berlaku terutamanya ketika rawatan baru dimulakan atau apabila dos ditingkatkan.
Tambah pakar juga, dos ubat biasanya ditingkatkan secara berperingkat mengikut tindak balas dan toleransi pesakit. Pemantauan doktor penting untuk menilai keberkesanan rawatan, menguruskan kesan sampingan dan memastikan ubat yang digunakan masih sesuai dengan keadaan pesakit.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mendapatkan ubat ini melalui saluran tidak rasmi atau mengubah dos sendiri.
Penggunaan produk daripada sumber yang tidak diketahui boleh mendedahkan pesakit kepada risiko produk tiruan, pencemaran, penyimpanan yang tidak betul atau dos yang tidak sesuai.
Bila Pembedahan Bariatrik Diperlukan?
Bagi individu yang mengalami obesiti lebih teruk, pembedahan bariatrik mungkin menjadi salah satu pilihan rawatan.
Dr Mohanarajah Silvarajah, Pakar Bedah Am dan Gastrointestinal (GI) Atas di SMCV, menjelaskan bahawa pembedahan ini boleh dipertimbangkan apabila rawatan bukan pembedahan tidak memberikan penurunan berat badan yang mencukupi atau berkekalan, atau apabila penyakit berkaitan obesiti masih tidak menunjukkan penambahbaikan yang diharapkan.
Keputusan untuk menjalani pembedahan bukan berdasarkan BMI semata-mata.

Doktor juga akan menilai tahap dan tempoh obesiti, usaha menurunkan berat badan sebelum ini, keberkesanan rawatan terdahulu, kawalan diabetes serta masalah kesihatan lain yang berkaitan.
Selain itu, corak pemakanan, kesihatan mental, penggunaan alkohol atau bahan terlarang dan keupayaan pesakit untuk mengikuti rawatan susulan turut diambil kira. Pesakit juga perlu bersedia untuk mengambil suplemen vitamin dan mineral serta mengamalkan perubahan gaya hidup selepas pembedahan.
Secara umum, terdapat dua jenis pembedahan bariatrik yang lazim dilakukan, iaitu sleeve gastrectomy dan Roux-en-Y gastric bypass.
1. Sleeve Gastrectomy
Dalam prosedur ini, kira-kira 70 hingga 80 peratus bahagian perut dibuang secara kekal. Baki perut akan berbentuk lebih kecil dan menyerupai tiub.
Saiz perut yang lebih kecil mengehadkan jumlah makanan yang boleh diambil pada satu-satu masa. Prosedur ini juga mengubah hormon yang mengawal selera makan dan menghasilkan perubahan metabolik yang boleh membantu mengawal paras gula dalam darah serta memperbaiki keadaan kesihatan berkaitan obesiti.
Berbeza daripada prosedur pintasan gastrik, usus kecil tidak dipintas dalam pembedahan ini. Namun, prosedur tersebut tidak boleh dipulihkan kerana sebahagian besar perut telah dibuang.
2. Roux-en-Y Gastric Bypass
Prosedur ini melibatkan pembentukan kantung perut yang kecil sebelum disambungkan terus kepada bahagian usus kecil yang lebih bawah. Dengan cara ini, makanan memintas sebahagian besar perut dan bahagian awal usus kecil.
Perubahan tersebut mengehadkan jumlah makanan yang boleh diambil serta mengubah cara tubuh menyerap nutrien. Prosedur ini turut mempengaruhi hormon dan isyarat daripada usus yang terlibat dalam kawalan selera makan, rasa kenyang dan paras gula dalam darah.
Menurut pakar, pembedahan ini boleh memberikan manfaat khususnya kepada pesakit diabetes jenis 2 dan sering membantu memperbaiki masalah refluks gastroesofagus, iaitu keadaan apabila kandungan perut mengalir semula ke esofagus.

Apakah Risiko Pembedahan Bariatrik?
Walaupun pembedahan bariatrik secara umumnya selamat apabila dilakukan dengan penilaian dan pemantauan yang sesuai, ia tetap merupakan pembedahan besar yang mempunyai risiko.
Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah pendarahan, kebocoran pada bahagian perut atau usus yang dibedah, jangkitan, pembentukan abses, darah beku, komplikasi berkaitan anestesia serta penyumbatan usus.
Sesetengah komplikasi mungkin memerlukan rawatan tambahan atau pembedahan lanjut.
Selain risiko awal, pesakit juga perlu memberi perhatian kepada pengambilan nutrien selepas pembedahan.
Saiz perut yang lebih kecil menyebabkan jumlah makanan yang boleh diambil berkurangan, manakala prosedur yang mengubah penyerapan nutrien boleh meningkatkan risiko kekurangan zat tertentu.
Antara nutrien yang perlu dipantau ialah zat besi, vitamin B12, folat, vitamin D, kalsium, tiamin atau vitamin B1 serta protein.
Pakar menjelaskan bahawa pesakit lazimnya perlu mengambil suplemen vitamin dan mineral sepanjang hayat serta menjalani ujian darah secara berkala selepas pembedahan. Kekurangan nutrien yang serius boleh menjejaskan sistem saraf dan kesihatan tulang.
Oleh itu, pembedahan bariatrik memerlukan komitmen jangka panjang. Penilaian sebelum pembedahan, penjagaan selepas prosedur dan pemantauan berterusan penting untuk membantu pesakit memperoleh manfaat rawatan dengan lebih selamat.
Matlamat Rawatan Obesiti Bukan Sekadar Menurunkan Berat Badan
Sama ada melalui ubat GLP-1 atau pembedahan bariatrik, matlamat utama rawatan obesiti adalah untuk meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup.
Penurunan berat badan yang bermakna boleh membantu memperbaiki pelbagai masalah kesihatan berkaitan obesiti, termasuk diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, paras kolesterol yang tidak normal dan apnea tidur obstruktif, iaitu gangguan pernafasan ketika tidur.

Bergantung pada keperluan pesakit, pelan rawatan boleh merangkumi perubahan pemakanan, aktiviti fizikal, sokongan untuk mengubah tingkah laku, ubat-ubatan atau pembedahan metabolik dan bariatrik.
Sesetengah pesakit juga mungkin memerlukan gabungan beberapa kaedah rawatan.
Pakar turut menegaskan bahawa pembedahan bariatrik bukan penyelesaian segera, tetapi merupakan pilihan rawatan berasaskan bukti yang boleh memberikan penambahbaikan kesihatan kepada pesakit yang sesuai.
Perkara paling penting ialah mendapatkan penilaian daripada doktor untuk memahami pilihan rawatan yang tersedia dan menentukan pendekatan yang sesuai untuk jangka panjang. Obesiti boleh dirawat, dan individu yang mengalaminya tidak perlu menghadapi cabaran ini sendirian.