GWM WEY G9 Hi4 HEV Kini Dibuka Untuk Tempahan Di Malaysia

October 12, 2026
Automotif

Lina Rosli

Baru-baru ini, GWM Malaysia membuka tempahan bagi GWM WEY G9 Hi4 HEV, iaitu varian hibrid baharu bagi MPV mewah tersebut.

Model ini diperkenalkan selepas GWM WEY G9 Hi4 PHEV menghampiri 2,000 unit penghantaran di seluruh negara.

Menurut GWM Malaysia, GWM WEY G9 Hi4 HEV menawarkan pilihan kepada pelanggan yang mahukan MPV mewah dengan teknologi hibrid tanpa perlu mengecas bateri menggunakan sumber kuasa luaran.

Model ini menggunakan enjin turbo 2.0 liter yang digabungkan dengan dua motor elektrik, transmisi hibrid khusus empat kelajuan (DHT) dan bateri hibrid berkapasiti 1.67 kWh.

Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 358 PS dan tork 782 Nm.

Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan teknologi Hi4 (Hybrid Intelligent 4WD) yang turut menggabungkan keupayaan pacuan empat roda dengan kecekapan sistem hibrid.

Dari segi keselesaan, GWM WEY G9 Hi4 HEV dilengkapi tempat duduk kulit Nappa, sistem pembatalan hingar aktif, sistem audio premium serta teknologi bantuan pemanduan.

MPV ini turut menawarkan kabin tiga baris tempat duduk dengan ruang yang luas dan ciri keselamatan menyeluruh.

Bagi yang berminat, tempahan GWM WEY G9 Hi4 HEV kini dibuka menerusi pengedar sah GWM di seluruh negara. Harga jualan dan spesifikasi penuh akan diumumkan semasa pelancaran rasmi model ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd