Luckin Coffee x Garfield Menampilkan 4 Minuman Baharu Dan Barangan Edisi Terhad
Lina Rosli
Pada bulan Oktober ini, Luckin Coffee Malaysia dilihat tampil dengan kolaborasi istimewa bersama watak kartun popular Garfield.
Menerusi kempen edisi terhad yang berlangsung dari Oktober sehingga November 2026, pelanggan boleh menikmati empat pilihan minuman, selain mendapatkan pembungkusan khas dan barangan koleksi yang menampilkan karakter kucing ikonik tersebut.
Kolaborasi ini dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Just Chillin’ with Luckin! yang bermula pada 15 Oktober, diikuti Cattitude ON pada 13 November.

Untuk fasa pertama, Luckin Coffee Malaysia memperkenalkan dua minuman berinspirasikan pencuci mulut Eropah iaitu Crème Brûlée Latte mula ditawarkan pada 15 Oktober. Minuman ini menggabungkan espresso dengan aroma vanila berkrim, dilengkapi krim lembut dan sos karamel.
Minuman kedua pula menampilkan Tiramisu Latte yang akan diperkenalkan pada 30 Oktober – minuman yang menggabungkan aroma koko, buih susu dan taburan serbuk koko.
Pada November, kempen diteruskan dengan dua lagi pilihan minuman. Toffee Hazelnut Latte kembali pada 13 November dengan gabungan tofi berkaramel dan kacang hazel panggang bersama susu dan espresso Gold Medal.
Bukan itu sahaja, Luckin Coffee juga turut akan memperkenalkan Black Sesame Hojicha Latte yang akan membuat kemunculan pada 27 November. Untuk minuman ini, ia menampilkan gabungan bijan hitam, teh hojicha panggang, susu segar dan sedikit garam laut.

Selain minuman, kolaborasi ini turut menampilkan barangan edisi terhad seperti selimut yang boleh dilipat menjadi bantal, beg kecil berbentuk patung Garfield, papan nota magnetik untuk monitor dan koleksi magnet.
Pelanggan juga boleh mengumpul cawan panas dan sejuk dengan reka bentuk khas serta tiga variasi sarung cawan yang ditawarkan sepanjang kempen.
Bagi pesanan menerusi GrabFood, pelanggan yang membeli mana-mana dua cawan minuman berpeluang menerima beg penebat haba edisi Garfield, sementara stok masih ada.

Untuk pelanggan yang membeli mana-mana minuman terpilih melalui aplikasi Luckin Coffee dari 15 hingga 22 Oktober 2026 pula turut berpeluang memenangi hadiah bernilai keseluruhan sehingga RM5,000.
Hadiah utama ialah penginapan hotel selama dua malam, manakala hadiah lain termasuk baucar urutan, tiket wayang dan baucar kopi percuma selama seminggu.
Khusus untuk anda yang berminat, kolaborasi Luckin Coffee dan Garfield ini ditawarkan untuk tempoh terhad di semua cawangan Luckin Coffee di Malaysia.