5 Penginapan Airbnb Dikelilingi Alam Semula Jadi Untuk Percutian Hujung Tahun

October 14, 2026
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Menjelang penghujung tahun, percutian yang jauh daripada kesibukan kota boleh menjadi peluang untuk berehat dan menyegarkan fikiran.

Penginapan yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi menawarkan suasana berbeza untuk memperlahankan rentak harian, meluangkan masa bersama orang tersayang dan menikmati ketenangan.

Daripada kabin di tengah hutan tropika hingga rumah penginapan di kawasan tanah tinggi, berikut ialah lima pilihan penginapan Airbnb di Malaysia yang boleh dipertimbangkan untuk percutian hujung tahun.

#1 Roots & Rimba, Negeri Sembilan

Terletak di Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan, Roots & Rimba menawarkan suasana penginapan yang diinspirasikan daripada kehidupan kampung.

Dikelilingi hutan tropika dan pokok buah-buahan, kabin yang dibina menggunakan kayu terpakai ini sesuai untuk mereka yang ingin berehat dalam suasana lebih dekat dengan alam.

Penginapan ini dilengkapi ruang tamu yang selesa, dapur kecil, ruang tidur dan balkoni peribadi yang menghadap pepohon hijau.

Dengan kapasiti sehingga lima orang, ia sesuai untuk keluarga atau kumpulan kecil yang ingin meluangkan masa bersama jauh daripada kesibukan bandar.

#2 Secluded Ulu Rainforest Adventure, Sarawak

Bagi yang ingin meneroka keindahan hutan hujan Borneo, Secluded Ulu Rainforest Adventure di pinggir Kuching menawarkan pengalaman percutian yang dikelilingi alam semula jadi dan komuniti Bidayuh di Ulu Bengoh.

Sepanjang penginapan, tetamu boleh menikmati suasana hutan, berenang di sungai yang jernih dan merasai hidangan tradisional yang disediakan menggunakan bahan tempatan.

Pengalaman ini sesuai untuk mereka yang ingin mengenali keindahan alam serta cita rasa tempatan Sarawak dengan lebih dekat.

#3 The Big Guesthouse, Tamparuli, Sabah

Terletak di kawasan berbukit di Tamparuli, The Big Guesthouse menawarkan pemandangan Lembah Kiulu yang diselubungi kabus, menjadikannya pilihan menarik untuk mereka yang mendambakan suasana desa yang tenang.

Tetamu boleh menikmati udara nyaman dan bunyi alam semula jadi, terutama pada waktu petang. Penginapan ini turut mempunyai kebun buah-buahan yang membolehkan tetamu menikmati durian dan cempedak ketika musim buah tiba.

Kawasan sekitarnya juga memberi peluang untuk melihat burung serta hidupan liar yang menghuni hutan tanah rendah.

#4 Orchard Homestay, Berhampiran Kuala Lumpur

Jika tidak mahu memandu terlalu jauh untuk bercuti, Orchard Homestay boleh menjadi pilihan untuk percutian singkat.

Terletak kira-kira 45 minit dari Kuala Lumpur, penginapan berkonsepkan ladang ini dikelilingi alam semula jadi dan menawarkan pemandangan bukit yang luas.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk kawasan barbeku dan dek yang menghadap perbukitan. Ruang yang luas menjadikannya sesuai untuk keluarga besar atau kumpulan rakan yang ingin berehat, memasak bersama dan menikmati masa berkualiti tanpa perlu merancang perjalanan yang terlalu jauh.

5. The Red Brick House, Lurau Hills, Bentong

Bagi yang menggemari suasana tanah tinggi, The Red Brick House terletak di puncak Lurau Hills dengan dek luas yang menghadap kawasan perbukitan Bentong.

Pemandangan sekeliling menjadikannya tempat yang sesuai untuk menikmati hujung minggu dengan lebih santai.

Selain ruang untuk menikmati panorama alam, penginapan ini turut menyediakan bilik karaoke, kawasan unggun api dan ruang barbeku untuk aktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan.

Terdapat juga sebuah kolam kecil dengan pondok desa yang membolehkan tetamu duduk berehat sambil menikmati suasana sekeliling.

Sama ada ingin bangun pagi dengan pemandangan bukit berkabus, meneroka hutan hujan atau sekadar berehat jauh daripada kesibukan kota, penginapan ini menawarkan pilihan untuk menikmati percutian hujung tahun dengan rentak yang lebih perlahan.

Kadangkala, meluangkan masa di tempat yang tenang sudah memadai untuk kembali segar sebelum memulakan tahun baharu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd