NONA Sambut Ulang Tahun Ke-40, Hadir Dengan Pratonton Eksklusif NONA Gala Awards 2026
Lina Rosli
Majalah dan jenama gaya hidup wanita NONA membuka tirai sambutan ulang tahun ke-40 menerusi majlis NONA Media Soirée – turut menampilkan pratonton eksklusif NONA Gala Awards 2026 sebagai sebahagian daripada sambutan Jubli Delima jenama tersebut.
Bertemakan An Afternoon Among Trailblazers & Icons, majlis ini dianjurkan oleh NONA bersama seeNI, dengan sokongan SFJ sebagai penaja utama.

Sejak diperkenalkan pada 1986, NONA terus mengangkat kisah, pencapaian dan aspirasi wanita Malaysia merentas generasi.
Sambutan empat dekad ini turut menjadi penghargaan kepada wanita yang mencipta perubahan, menerajui bidang masing-masing dan membuka peluang kepada generasi seterusnya.
Menerusi majlis tersebut, pengamal media diberi gambaran awal mengenai dua pengiktirafan utama yang bakal diketengahkan dalam NONA Gala Awards 2026, iaitu NONA Rising 40 Under 40 dan NONA People’s Choice Icons of the Year.


Kedua-dua anugerah ini bertujuan mengiktiraf wanita yang memberi inspirasi, menyerlahkan bakat baharu serta meraikan individu yang berpotensi membentuk masa depan Malaysia.
Bagi yang berminat, NONA Gala Awards 2026 bakal berlangsung pada 18 November 2026 ini di Royale Chulan Hotel.
Majlis kemuncak tersebut juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube dan Facebook rasmi NONA serta Mingguan Wanita.