Gegata Kerap Muncul dan Hilang? Anda Mungkin Mengalami Urtikaria Spontan Kronik
Lina Rosli
Gegata yang muncul berulang kali sering dianggap sebagai ruam panas, alahan atau kesan tekanan emosi. Namun, tahukah anda bahawa jika keadaan ini berlarutan selama lebih enam minggu tanpa punca luaran yang jelas, ia mungkin berkaitan dengan urtikaria spontan kronik (Chronic Spontaneous Urticaria atau CSU).
Apa itu iaitu urtikaria spontan kronik? Secara umumnya, ia merupakan satu keadaan penyakit kulit yang boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang.
Sempena Hari Urtikaria Sedunia yang disambut pada 1 Oktober lalu, orang ramai digalakkan untuk mengenali keadaan ini dengan lebih mendalam.

Menurut Dr Peter Ch’ng Wee Beng, Pakar Perunding Dermatologi dan Naib Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), pesakit CSU sering berdepan kesukaran mendapatkan diagnosis kerana ruam mungkin sudah hilang ketika mereka tiba di klinik.
Beliau menjelaskan bahawa gejala boleh muncul dan hilang secara tidak menentu. Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan pemeriksaan, malah boleh menimbulkan keresahan kerana pesakit tidak mengetahui bila gegata akan kembali.
Kenali Urtikaria Spontan Kronik
Urtikaria Spontan Kronik atau dikenali sebagai CSU ialah keadaan kulit yang menyebabkan gegata atau benjolan gatal muncul berulang kali selama lebih enam minggu, dengan atau tanpa angioedema, iaitu pembengkakan pada lapisan kulit yang lebih dalam. Gejala ini berlaku tanpa pencetus luaran yang jelas.
Menurut Dr Peter, gegata biasanya kelihatan licin dan sedikit membengkak sebelum hilang dalam tempoh 24 jam. Namun, ruam baharu boleh muncul di bahagian tubuh yang lain, menyebabkan pesakit mengalami kegatalan berulang walaupun ruam sebelumnya sudah reda.

Beberapa kajian di Asia menganggarkan prevalens urtikaria kronik pada satu-satu masa ialah 1.4%, bersamaan kira-kira seorang daripada 71 orang. Angka ini merangkumi urtikaria kronik secara keseluruhan, termasuk CSU dan urtikaria kronik teraruh yang dicetuskan oleh faktor tertentu.
Keadaan ini juga boleh disalah anggap sebagai ekzema, psoriasis atau alahan kerana sesetengah masalah kulit mempunyai gejala yang hampir serupa. Oleh itu, pemeriksaan doktor penting bagi memastikan diagnosis dan rawatan yang sesuai.
CSU Bukan Sekadar Masalah Kulit
Kesan CSU bukan hanya terhad kepada kegatalan dan ruam. Kemunculan gejala yang tidak menentu boleh mengganggu rutin harian, menjejaskan tumpuan dan menyebabkan pesakit sukar mendapatkan tidur yang mencukupi.
Pakar turut berkongsi pengalaman seorang pesakit muda yang kerap terlepas kelas kerana gejalanya menjadi tidak terkawal walaupun telah menggunakan antihistamin. Keadaan tersebut turut menjejaskan tumpuan dan tidurnya, sekali gus mengganggu pembelajaran.

Kajian di Malaysia juga mendapati lebih 80% pesakit CSU melaporkan kegatalan dan gegata pada tahap sederhana hingga teruk yang menjejaskan pekerjaan, kehidupan sosial serta aktiviti harian mereka.
Ketidakpastian tentang bila gejala akan muncul semula boleh menambahkan keresahan. Malah, keadaan ini mungkin sukar difahami oleh orang sekeliling kerana gegata boleh hilang sebelum mereka berpeluang melihatnya.
Mengapa Diagnosis CSU Mengambil Masa Yang Lama?
Salah satu cabaran dalam mengenal pasti CSU ialah sifat ruam yang sementara. Apabila pesakit menjalani pemeriksaan, gegata mungkin sudah hilang dan doktor tidak dapat melihat gejala yang dialami secara langsung.
Bagi membantu proses diagnosis, pakar menyarankan pesakit mengambil gambar ruam ketika ia muncul serta mencatat beberapa perkara penting, termasuk:
- Bila gegata mula muncul dan berapa lama setiap ruam bertahan.
- Sama ada ruam lama hilang sebelum ruam baharu muncul di bahagian tubuh yang lain.
- Rupa ruam, termasuk sama ada permukaannya licin atau kasar.
- Sama ada ruam meninggalkan kesan seperti perubahan warna kulit atau lebam.
- Rawatan yang pernah dicuba dan sejauh mana gejala menjejaskan kehidupan harian.
Gegata yang biasa dikaitkan dengan urtikaria lazimnya bersifat sementara dan tidak meninggalkan kesan selepas hilang. Sebaliknya, ruam yang berterusan, bersisik, menyakitkan atau meninggalkan kesan seperti lebam mungkin menandakan keadaan lain yang memerlukan pemeriksaan doktor.

Apakah Rawatan Yang Sesuai Untuk CSU?
Menurut pakar, menyapu krim steroid setiap kali gegata muncul bukanlah penyelesaian utama bagi CSU kerana ruam boleh hilang dengan cepat sebelum muncul semula di bahagian tubuh yang lain. Rawatan perlu disesuaikan dengan keadaan pesakit dan bertujuan mengawal gejala secara menyeluruh.
Garis panduan antarabangsa mengesyorkan antihistamin H1 generasi kedua sebagai rawatan awal untuk CSU. Jika gejala masih tidak terkawal, doktor boleh mempertimbangkan peningkatan rawatan mengikut garis panduan dan keadaan pesakit.
Dr Peter turut mengingatkan bahawa suntikan steroid berulang atau penggunaan kortikosteroid sistemik bukan pilihan untuk rawatan jangka panjang kerana penggunaannya boleh membawa risiko kesihatan yang serius.
Matlamat rawatan bukan sekadar mengurangkan gegata buat sementara waktu, tetapi mengawal gejala dengan berkesan supaya pesakit dapat menjalani kehidupan harian tanpa gangguan yang berterusan.

Jika gejala masih tidak terkawal, pesakit boleh berbincang dengan doktor tentang keperluan mendapatkan penilaian pakar.
Harus diingatkan, individu yang mengalami gegata berulang selama enam minggu atau lebih disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor, terutama jika gejala mengganggu tidur, pekerjaan atau aktiviti harian.
Rekod gambar dan catatan gejala boleh membantu doktor memahami corak kemunculan ruam serta menentukan rawatan yang sesuai.
Jika gegata disertai kesukaran bernafas atau menelan, dapatkan rawatan kecemasan dengan segera kerana gejala tersebut boleh menandakan tindak balas serius.