Strok Kanak-Kanak: Kenali Tanda Amaran, Punca Dan Rawatannya

October 16, 2026
Kesihatan

Lina Rosli

Strok sering dikaitkan dengan golongan dewasa, khususnya mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, diabetes atau paras kolesterol tinggi. Namun, strok juga boleh berlaku kepada kanak-kanak, termasuk bayi yang baru dilahirkan.

Jika tanda-tandanya tidak dikenal pasti lebih awal, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan dan perkembangan anak dalam jangka panjang.

Menurut Protokol Pediatrik untuk Hospital di Malaysia yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bersama Persatuan Pediatrik Malaysia, strok dianggarkan berlaku pada kadar 2.5 hingga 13 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak setiap tahun.

Walaupun jarang berlaku, strok kanak-kanak sukar dikenal pasti kerana gejalanya boleh menyerupai masalah kesihatan lain yang lebih biasa.

Kenali Tanda Strok Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Gejala strok kanak-kanak boleh berbeza mengikut usia. Kanak-kanak yang lebih besar dan remaja mungkin menunjukkan tanda yang hampir sama seperti orang dewasa, seperti:

  • muka senget
  • lemah pada sebelah badan
  • sukar untuk bercakap

Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, tanda strok mungkin lebih sukar dikenal pasti kerana mereka belum dapat menerangkan apa yang dirasai.

Antara tanda yang boleh diperhatikan termasuk sawan dan kesukaran menyusu. Ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan fizikal atau tingkah laku anak yang berlaku secara tiba-tiba.

Menurut Dr Tan, jika anak tiba-tiba mengalami muka senget, kelemahan pada sebelah badan, kesukaran bercakap atau sawan tanpa sebab yang jelas, ibu bapa perlu segera mendapatkan bantuan kecemasan.

Malah, pakar turut menyarankan ibu bapa untuk terus menghubungi ambulans dan mencatat waktu terakhir anak berada dalam keadaan normal bagi membantu pasukan perubatan menentukan rawatan yang sesuai.

Tindakan pantas penting kerana kelewatan rawatan boleh meningkatkan risiko kerosakan otak. Selain itu, tidak semua hospital mempunyai kemudahan pengimejan otak dan kepakaran untuk merawat strok kanak-kanak. Oleh itu, anak mungkin perlu dipindahkan ke hospital yang mempunyai kemudahan dan pakar berkaitan.

Mengapa Kanak-Kanak Boleh Mengalami Strok?

Berbeza daripada orang dewasa, strok dalam kalangan kanak-kanak lazimnya tidak berpunca daripada faktor risiko berkaitan gaya hidup.

Sebaliknya, ia boleh dikaitkan dengan penyakit jantung, kelainan salur darah otak, masalah darah, jangkitan, keradangan, trauma serta keadaan genetik atau metabolik tertentu.

Menurut Dr Tan, kelainan pada salur darah otak merupakan antara punca asas yang kerap dikenal pasti dalam pengalaman klinikal beliau. Malah, kanak-kanak yang kelihatan sihat juga boleh mengalami strok tanpa masalah kesihatan yang diketahui sebelum ini.

Untuk mengenal pasti puncanya, doktor mungkin menjalankan beberapa pemeriksaan, termasuk ujian darah, pemeriksaan jantung melalui elektrokardiogram (ECG) dan ekokardiogram, serta pengimejan otak dan salur darah menggunakan MRI bersama MRA.

Ujian tambahan seperti saringan gangguan pembekuan darah juga boleh dilakukan jika diperlukan.

Rawatan bergantung pada jenis dan punca strok. Pada peringkat awal, doktor akan menstabilkan keadaan pesakit, mengawal sawan jika berlaku dan menangani komplikasi.

Bukan itu sahaja, ubat untuk mengurangkan risiko pembentukan darah beku mungkin diberikan mengikut keadaan pesakit. Bagi kes tertentu yang memenuhi kriteria rawatan, prosedur trombektomi endovaskular boleh dipertimbangkan untuk mengeluarkan darah beku daripada arteri yang tersumbat.

Risiko strok berulang juga perlu diberikan perhatian. Menurut protokol pediatrik Malaysia, sekitar 12% hingga 20% kes strok iskemia arteri dalam kalangan kanak-kanak berisiko untuk berulang.

Risiko sebenar berbeza mengikut keadaan setiap pesakit, termasuk sama ada terdapat kelainan pada arteri otak. Oleh itu, rawatan terhadap punca asas dan pemantauan susulan oleh pakar amat penting.

Kesan Strok Boleh Berlanjutan Hingga Dewasa

Strok bukan sahaja boleh menjejaskan pergerakan kanak-kanak, malah turut memberi kesan terhadap pembelajaran, komunikasi, ingatan dan perkembangan emosi.

Satu kajian di Malaysia yang diterbitkan pada 2025 melibatkan 76 orang kanak-kanak yang dipantau sekurang-kurangnya dua tahun selepas mengalami strok. Kira-kira tiga daripada empat kanak-kanak menunjukkan pemulihan yang baik dari segi keupayaan menguruskan aktiviti harian dan keadaan neurologi.

Namun, kualiti hidup keseluruhan mereka masih lebih rendah berbanding kanak-kanak Malaysia yang sihat, terutamanya bagi mereka yang mengalami kesukaran pembelajaran.

Dr Tan menjelaskan bahawa kanak-kanak yang kelihatan pulih dari segi fizikal masih mungkin mengalami beberapa masalah seperti:

  • masalah tumpuan
  • masalah ingatan
  • masalah untuk memproses maklumat
  • masalah komunikasi
  • masalah mengawal emosi

Kesan ini boleh menjejaskan prestasi di sekolah, hubungan sosial dan keyakinan diri.

Ada juga kesan yang hanya menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak membesar. Mereka mungkin kelihatan pulih pada peringkat awal, tetapi mula menghadapi kesukaran apabila tuntutan pembelajaran dan perkembangan semakin meningkat.

Justeru, pemantauan jangka panjang penting bagi memastikan keperluan perkembangan anak terus dipenuhi. Bergantung pada keadaan masing-masing, proses pemulihan boleh melibatkan fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan bahasa, penilaian neuropsikologi serta sokongan pendidikan.

Kempen Kesedaran Kesihatan Otak di Sunway Velocity Mall

Bagi meningkatkan kesedaran tentang strok dalam kalangan kanak-kanak, orang ramai berpeluang mempelajari lebih lanjut tentang kesihatan otak dan sistem saraf menerusi kempen Neurosains SMCV, Brain for Life: The Ultimate Mind & Motion Experience, yang berlangsung di Sunway Velocity Mall.

  • Tarikh: 30 Oktober hingga 1 November 2026
  • Masa: 10.00 pagi hingga 10.00 malam
  • Tempat: Main Atrium, Tingkat G, Sunway Velocity Mall

Antara aktiviti yang dirancang termasuk bengkel SunMed Kids’ Club FAST Heroes Campaign oleh Angels Initiative untuk membantu kanak-kanak mengenali tanda strok, permainan interaktif, perbincangan panel mengenai kehilangan ingatan dan penyakit Alzheimer peringkat awal, serta konsultasi dan penilaian kesihatan percuma.

Promosi bagi pakej saringan kesihatan terpilih turut disediakan.

Pengunjung juga boleh mencuba Stroke Mirror, yang diperkenalkan sebagai cermin simulasi strok pertama di Malaysia. Alat ini bukan untuk mendiagnosis strok, sebaliknya membantu keluarga memahami dan mengenali salah satu tanda amaran strok melalui simulasi.

Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di laman web rasmi Sunway Medical Centre Velocity.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd