BMW Motorrad Malaysia Tambah Baik Dua Program Pemilikan Motosikal Sedia Ada

October 16, 2026
Automotif

Lina Rosli

BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan penambahbaikan kepada dua program pemilikan motosikalnya, iaitu BMW Motorrad Service Inclusive (BMSI) dan BMW Motorrad Warranty Extension (BMWE).

Melalui program ini, pelanggan boleh merancang kos penyelenggaraan dan perlindungan motosikal dengan lebih mudah untuk tempoh jangka panjang.

Kedua-dua program ini boleh digabungkan dalam pembiayaan melalui BMW Group Financial Services Malaysia bagi model terpilih.

Kadar pembiayaan ditawarkan antara 2.99% hingga 3.30% untuk tempoh sehingga tujuh tahun, berbanding kadar standard 4.60% tanpa program berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Raymond Tan, komitmen BMW Motorrad bukan sekadar menawarkan motosikal, tetapi turut merangkumi usaha meningkatkan pengalaman pemilikan melalui kemudahan servis dan perlindungan yang memberikan ketenangan kepada penunggang.

Servis Dan Waranti Sehingga 5 Tahun

Menerusi BMW Motorrad Service Inclusive, pemilik mendapat perlindungan penyelenggaraan berjadual selama lima tahun atau sehingga 50,000 kilometer, mengikut mana-mana yang terdahulu.

Pakej ini merangkumi alat ganti tulen, kos buruh dan minyak bagi servis yang diliputi.

Sementara itu, BMW Motorrad Warranty Extension memberikan tambahan waranti selama dua tahun selepas waranti standard tiga tahun, menjadikan jumlah tempoh perlindungan waranti lima tahun.

Pelanggan boleh memilih salah satu program atau menggabungkan kedua-duanya mengikut keperluan. Harga bermula daripada RM3,100 untuk pakej servis, RM1,000 untuk lanjutan waranti dan RM4,100 bagi pakej gabungan. Harga sebenar bergantung pada model motosikal.

Maklumat lanjut mengenai BMW Motorrad Service Inclusive dan BMW Motorrad Warranty Extension, termasuk harga mengikut model, boleh didapati melalui laman web rasmi BMW Motorrad Malaysia atau Pengedar Sah BMW Motorrad berhampiran.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd