Destinasi Percutian Di China Semakin Popular Dalam Kalangan Pelancong Malaysia, Menurut Klook
Lina Rosli
Berdasarkan perkongsian data dari Klook baru-baru ini, destinasi percutian di China semakin mendapat perhatian pelancong Malaysia. Klook turut melaporkan pertumbuhan kukuh bagi tempahan percutian yang merangkumi tempahan bilik hotel dan juga lokasi tarikan pelancong ke negara itu menerusi Klook Travel Fest 2026.
Acara pelancongan yang berlangsung selama tiga hari di Sunway Pyramid itu menerima seramai 19,738 pengunjung yang mencari inspirasi percutian serta tawaran menarik untuk perjalanan seterusnya.

Berlangsung dengan tema Epik Carnival, acara tersebut menawarkan lebih 1,400 tawaran promosi, selain zon khas untuk mendapatkan maklumat hotel, destinasi dan itinerari.
Sepanjang acara, lebih 8,200 pertanyaan pelanggan dijawab, manakala lebih 7,600 itinerari diedarkan kepada pengunjung.
Dalam acara yang sama juga, Klook turut menyatakan yang mana Jepun kekal sebagai destinasi paling popular berdasarkan tempahan sepanjang festival.

Dapatan ini turut selari dengan kajian Klook Travel Pulse 2026 yang menunjukkan Jepun menjadi destinasi paling diminati rakyat Malaysia, dengan 27.2% responden memilih negara tersebut.
Dalam kategori tarikan dan aktiviti pula, Shanghai Disneyland, Tokyo Disneyland dan Universal Studios Japan mencatatkan tempahan tertinggi sepanjang acara. Ini menunjukkan taman tema turut menjadi antara tarikan yang mendapat perhatian pelancong ketika merancang percutian.

Klook turut menekankan bahawa harga berpatutan memainkan peranan penting dalam pemilihan destinasi. Berdasarkan Klook Travel Pulse 2026, sebanyak 56.1% rakyat Malaysia meletakkan kemampuan kewangan sebagai pertimbangan utama ketika memilih tempat untuk bercuti.
Sepanjang festival, lebih 1,400 tawaran promosi telah ditebus oleh pengunjung.

Menurut Pengurus Besar Klook, Jepun terus menjadi pilihan utama, manakala pertumbuhan tempahan ke China menunjukkan pelancong Malaysia turut berminat menerokai destinasi dan pengalaman baharu.
Bagi yang tidak mengetahui, Klook Travel Fest kembali ke Malaysia pada 2025 selepas berehat selama enam tahun. Penganjuran tahun ini meneruskan usaha menghubungkan pelancong dengan tawaran perjalanan, maklumat destinasi dan pengalaman yang boleh ditempah menerusi platform tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai Klook Travel Fest, layari laman rasmi Klook.