Tambang ECRL Gombak Ke Kota Bharu Bermula RM125, Perjalanan Ekspres Sekitar 4 Jam
Lina Rosli
Baru-baru ini, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah mengumumkan yang mana tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu akan bermula serendah RM125 sehala bagi kelas Ekonomi.
Untuk pengetahuan anda, operasi komersial untuk perkhidmatan ini disasarkan bermula pada pertengahan Disember 2026.

Berikut ialah kadar tambang permulaan bagi beberapa laluan utama:
| Laluan | Transit | Ekspres |
|---|---|---|
| Gombak – Kota Bharu | RM125 | RM147 |
| Gombak – Kuala Terengganu | RM95 | RM110 |
| Gombak – KotaSAS | RM60 | RM68 |
Bagi yang tidak mengetahui, perkhidmatan Transit merujuk kepada perkhidmatan tren yang akan berhenti di setiap stesen yang dijadualkan, manakala perkhidmatan Ekspres hanya berhenti di empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Untuk laluan Gombak ke Kuala Terengganu, perjalanan Ekspres dijangka mengambil masa 2 jam 54 minit, berbanding 3 jam 51 minit menggunakan Transit.
Sementara itu, perjalanan dari Gombak ke KotaSAS mengambil masa sekitar 1 jam 27 minit bagi Ekspres dan 2 jam 5 minit bagi Transit.

Bukan itu sahaja, untuk ECRL ini juga, kerajaan turut menawarkan diskaun iaitu:
- Diskaun 50% kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesara Kerajaan.
- Diskaun 40% untuk pelajar berumur 13 hingga 24 tahun.

Kemudahan untuk Perjalanan Lebih Selesa
Tren ECRL akan menawarkan kelas Ekonomi, Ekonomi Premium dan Perniagaan bagi memenuhi keperluan penumpang yang berbeza.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat serta tempat duduk khas untuk penumpang OKU.
Penumpang juga boleh menggunakan rangkaian internet 4G/5G dan Wi-Fi sepanjang jajaran, manakala teknologi komunikasi LTE-Railway (LTE-R) digunakan bagi menyokong operasi tren.

Setakat ini, sebanyak 10 set tren elektrik EMU akan digunakan dengan kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam untuk menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
ECRL merancang menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis, dengan 6 perjalanan bagi setiap arah.
Kekerapan itu akan meningkat kepada 16 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad, bersamaan 8 perjalanan bagi setiap arah.