IMU University Melancarkan Pusat Kecemerlangan Pergigian Implan Pertama Di Malaysia
Lina Rosli
IMU University melancarkan Anthogyr Centre of Excellence, pusat pertama seumpamanya di Malaysia yang memberi peluang kepada pelajar pergigian dan doktor gigi untuk mendalami bidang pergigian implan melalui latihan praktikal dan perkongsian ilmu.

Untuk pengetahuan anda, pusat ini diwujudkan hasil kerjasama antara IMU University dengan Anthogyr, jenama di bawah Straumann Group yang menyediakan penyelesaian implan pergigian.
Selain pelajar, pusat ini turut menyediakan peluang kepada doktor gigi yang sedang berkhidmat untuk menambah pengetahuan, mengikuti perkembangan teknologi dan mempelajari pendekatan rawatan baharu. Ia juga menjadi platform untuk latihan tenaga pengajar dan kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri.

Bagi Straumann Group, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk menyokong pembangunan komuniti pergigian di Malaysia, termasuk melalui pendidikan dan penggunaan teknologi yang dapat membantu meningkatkan mutu penjagaan pesakit.

Melalui Anthogyr Centre of Excellence, IMU University dan Straumann Group berharap dapat menyediakan platform pembelajaran berterusan bagi melahirkan lebih ramai profesional pergigian yang berkemahiran, yakin dan bersedia menghadapi perkembangan bidang pergigian pada masa hadapan.