Fashionably Modest Asia 2026 Kembali Menampilkan Kepelbagaian Fesyen Sopan Kontemporari
Lina Rosli
Fashionably Modest Asia (FMA) bakal kembali untuk edisi kedua dari 13 hingga 15 November 2026 di Pavilion Arena, Pavilion Damansara Heights.
Acara selama tiga hari ini menghimpunkan pereka fesyen terkenal, bakat baharu dan rakan kerjasama kreatif bagi mengetengahkan perkembangan fesyen sopan kontemporari.

Untuk FMA 2026 ini, ia memberikan tumpuan kepada bagaimana pereka fesyen membina identiti jenama, mendekati khalayak dan menghasilkan gaya tersendiri.
Kini, fesyen sopan tidak lagi dilihat sebagai satu gaya yang seragam, sebaliknya merangkumi pelbagai tafsiran yang dipengaruhi oleh gaya peribadi, budaya, kemahiran pertukangan dan perkembangan fesyen semasa.

Antara pereka dan jenama yang mengambil bahagian ialah Radzuan Radziwill, Asyraf Arrif, Enya Chok, Jeffery Goh, Shaznash, Zachrin Jaafars, Jeff Yeong, Raja Irfan, Russell Chin, Bumi Arman, SYOMSZ by Syomirizwa Gupta, Sara J, Nanalyana, Wan & Mary × Labreya, Atelier Prive Melson, Ashley@Kapas, Bidadara by DanielDolt, Inna Ddin, Thalia × Dayah dan Sharifah Kirana.
Acara ini turut menampilkan pereka dari rantau ASEAN, termasuk MONOLOQ, Ja.SOCHA, SAN & SANS serta Island Shops dari Singapura, di samping AYN ABAYA, IKYK dan Nada Puspita dari Indonesia.
Kolaborasi Bersama Media Dan Personaliti
FMA 2026 turut memperluas kerjasama antara industri fesyen, media dan khalayak menerusi pertunjukan fesyen – seperti Majalah WM, Mingguan Wanita, Nona dan Hijabista yang masing-masing akan mempersembahkan pertunjukan fesyen dengan menampilkan pereka serta koleksi terpilih.

Selain itu, Khainina Khalil turut menyertai FMA 2026 dengan membawa gaya peribadi dan perspektifnya terhadap fesyen sopan kontemporari.
Menurut FMA, penyertaan Khainina akan memperluaskan perbincangan tentang fesyen, bukan sahaja dari sudut koleksi yang dipersembahkan di pentas peragaan, tetapi juga cara orang ramai menggabungkan pakaian dan menjadikannya sebahagian daripada gaya peribadi mereka.

Wardah kembali sebagai Rakan Rasmi Solekan dan Kecantikan FMA 2026. Bagi edisi kali ini, Wardah merancang beberapa inisiatif kempen dan pengalaman kecantikan di lokasi acara dengan menampilkan produk seperti Wardah Pep Plump Lip Oil, rangkaian penjagaan kulit Crystal Secret dan Skin Tint baharu.
Eternity by ELFI, jenama di bawah ELFI Jewellery, turut menyertai FMA 2026 sebagai Rakan Rasmi Barang Kemas. Jenama ini akan membuat penampilan sulung di pentas peragaan menerusi kolaborasi bersama pereka Wan & Mary, dengan mengetengahkan rekaan barang kemas tempahan khas dan seni pertukangan yang melengkapkan fesyen sopan kontemporari.