Seiko Hadir Dengan Jam Tangan Edisi Terhad Berinspirasikan Panda – Dijual Pada Harga RM2,350

October 26, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Khusus untuk peminat jam tangan Seiko, nampaknya jenama ini hadir dengan koleksi edisi terhad yang menampilkan jam tangan dengan rekaan panda – koleksi Power Design Project.

Apa yang menarik, jam tangan ini tidak sekadar menggunakan gabungan warna hitam dan putih yang dikenali sebagai panda dial dalam dunia pembuatan jam tangan, tetapi turut menampilkan ciri fizikal haiwan tersebut pada bahagian dail dan badan jam.

Dihasilkan oleh pereka dalaman Seiko, Kiyotaka Sakai, kedua-dua model ini bermula sebagai konsep untuk pameran Incredibly Specialized Watch Exhibition pada 2024.

Berdasarkan perkongsian Seiko juga, koleksi baharu ini hadir dengan dua pilihan model, iaitu model hitam putih yang diinspirasikan daripada panda dewasa, manakala warna merah jambu pulak mengambil idea daripada anak panda yang baru dilahirkan.

Dari segi rekaan pada muka jam, ia tampil dengan subdail yang direka menyerupai mata panda, sementara tekstur dail pula menampilkan corak seakan bulu panda.

Melengkapkan jam ini adalah butang kronograf yang berbentuk seakan telinga panda dan juga bahagian belakang jam yang menampilkan bentuk tiga dimensi yang diinspirasikan daripada ekornya serta corak pada belakang badan panda.

Satu lagi perincian menarik ialah skala takimeter yang dinamakan SASAMETER. Selain merujuk kepada sasa, iaitu perkataan Jepun untuk buluh yang menjadi makanan kegemaran panda, skala ini boleh mengukur kelajuan sehingga 30 km/j, bersamaan kelajuan maksimum teori larian panda.

Kedua-dua model turut dilengkapi tali kulit dengan bahagian bermaterial seperti suede untuk memberikan tekstur yang lebih menarik.

Setiap jam tangan didatangkan dalam kotak khas yang direka selari dengan identiti koleksi ini.

Kedua-dua jam tangan menggunakan mekanisme kuarza Caliber 8T61 dengan ketepatan sekitar ±15 saat sebulan.

Antara spesifikasi lain termasuk diameter sarung 43mm, ketebalan 14.6mm, ketahanan air 3 bar serta ketahanan magnet 4,800 A/m.

Di Malaysia, kedua-dua model ini disyorkan pada harga RM2,350 setiap satu. Model HHK001 dihadkan kepada 3,000 unit, manakala HHK002 hanya dihasilkan sebanyak 2,000 unit.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd