IKEA Kuching Dibuka 27 November, Harga Sama Seperti Di Semenanjung Tanpa Caj Tambahan

October 28, 2026
Pusat Beli-Belah

Lina Rosli

IKEA Malaysia bakal membuka gedung pertamanya di Sarawak pada 27 November 2026 di Pines Mall, Batu Kawa, Kuching.

Gedung ini juga merupakan gedung IKEA berformat kompak yang pertama di Malaysia, dengan sekitar 5,000 produk kelengkapan rumah.

Pelanggan boleh mendapatkan pelbagai perabot dan aksesori untuk ruang tamu, bilik tidur, dapur dan ruang lain pada harga yang sama seperti di Semenanjung Malaysia, tanpa caj tambahan khusus untuk Malaysia Timur.

Antara produk yang ditawarkan termasuk rak buku BILLY, unit rak KALLAX dan kerusi santai POÄNG.

Perabot terpilih boleh dibawa pulang terus, manakala produk lain boleh ditempah untuk pengambilan sendiri atau penghantaran ke rumah. Bukan itu sahaja, khidmat perancangan kediaman turut disediakan.

Selain membeli-belah, pelanggan boleh menikmati makanan secara grab-and-go, termasuk bebola daging IKEA, karipap, hot dog dan aiskrim lembut.

Sempena pembukaan ini, pelbagai aktiviti akan berlangsung dari 27 hingga 29 November 2026. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web IKEA Kuching.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd