Kemurungan Dalam Kalangan Warga Emas Sering Tidak Disedari, Ini Tanda-Tandanya
Lina Rosli
Usia emas sering dikaitkan dengan kehidupan yang lebih tenang, masa bersama keluarga dan peluang menikmati hari-hari tanpa terlalu banyak komitmen.
Namun, realitinya tidak semua warga emas melalui fasa kehidupan ini dengan perasaan gembira.
Ada yang berdepan kesunyian, kehilangan orang tersayang dan masalah kesihatan sehingga menjejaskan emosi tanpa menyedari bahawa mereka mungkin mengalami kemurungan.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, kadar kemurungan dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas di Malaysia ialah 3.1%. Walau bagaimanapun, angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana masih ramai yang tidak mengenali tanda-tanda kemurungan atau menganggap perubahan emosi sebagai sebahagian daripada proses penuaan.
Malah, satu kajian lain mendapati kadar kemurungan dalam kalangan warga emas boleh mencecah 28%.
Keadaan ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor, termasuklah:
- kurang kesedaran tentang kesihatan mental
- rasa malu untuk mendapatkan bantuan
- kesukaran mengakses perkhidmatan kesihatan
Ada juga warga emas yang tidak menyedari bahawa kemurungan merupakan masalah yang boleh dirawat.

Dr Serena In, Pakar Psikologi Klinikal merangkap Ketua Jabatan di IMU University, menjelaskan bahawa peningkatan usia sering datang bersama pelbagai cabaran. Antaranya termasuk masalah kesihatan, keupayaan fizikal yang semakin berkurangan dan kesukaran untuk menguruskan kehidupan secara sendiri.
Selain itu, kehilangan pasangan atau ahli keluarga, kesunyian, perubahan kesihatan akibat strok atau kanser serta terpaksa berpindah dari rumah sendiri juga boleh memberi kesan kepada emosi warga emas. Memandangkan Malaysia sedang mengalami peningkatan jumlah penduduk berusia, isu ini memerlukan perhatian yang lebih serius.
Tanda Kemurungan Yang Sering Disalah Anggap Sebagai Proses Penuaan
Tidak semua perubahan emosi bermaksud seseorang mengalami kemurungan. Namun, perasaan sedih yang berpanjangan, hilang minat terhadap aktiviti yang sebelum ini digemari dan perubahan tingkah laku yang ketara tidak seharusnya dianggap perkara biasa.
Dr Chin Hui Sian, Kaunselor dan Pensyarah di IMU University, menjelaskan bahawa kemurungan boleh ditunjukkan melalui perubahan rutin harian.
Antaranya termasuklah:
- perubahan selera makan
- tidur terlalu lama atau terlalu sedikit
- mula menjauhkan diri daripada orang lain
- tidak lagi berminat melakukan aktiviti yang biasa dilakukan
Perubahan ini mungkin menunjukkan seseorang sedang mengalami tekanan emosi atau masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan.

Namun, harus diingatkan, gejala yang sama juga boleh berpunca daripada masalah kesihatan lain. Oleh itu, penilaian profesional diperlukan sekiranya perubahan tersebut berterusan atau mula mengganggu kehidupan seharian.
Kaunselor, pakar psikologi klinikal dan pakar psikiatri mempunyai peranan masing-masing dalam membantu individu yang berdepan masalah kesihatan mental.
Penilaian lanjut boleh dilakukan untuk mengenal pasti punca dan tahap masalah sebelum sokongan yang sesuai diberikan.
Rawatan mungkin melibatkan kaunseling, terapi psikologi, ubat-ubatan atau gabungan beberapa pendekatan.

Dr Serena turut menjelaskan bahawa mengalami gejala kemurungan tidak semestinya bermaksud seseorang telah didiagnosis dengan kemurungan secara klinikal.
Diagnosis dan cadangan rawatan perlu dibuat oleh pakar psikologi klinikal atau pakar psikiatri yang berkelayakan.
Mengapa Warga Emas Sukar Mendapatkan Bantuan?
Salah satu cabaran utama ialah tidak semua warga emas selesa berkongsi masalah emosi yang dialami. Ada yang membesar dalam persekitaran yang jarang membincangkan kesihatan mental secara terbuka. Mereka mungkin menganggap mendapatkan bantuan sebagai tanda kelemahan atau bimbang akan membebankan ahli keluarga.
Menurut Dr Chin, sesetengah warga emas juga lebih cenderung mengadu tentang masalah fizikal seperti sakit kepala, ketidakselesaan perut dan keletihan berbanding menceritakan perasaan sedih atau murung. Ada juga yang menunjukkan perubahan emosi seperti mudah marah.
Keengganan menerima rawatan turut menjadi cabaran, terutama apabila mereka merasakan diri dipaksa oleh ahli keluarga. Dr Serena menjelaskan bahawa dalam sesetengah keadaan, perasaan terabai atau terkilan mungkin berkait dengan masalah hubungan keluarga yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu.
Cara Membantu Ibu Bapa Yang Mungkin Mengalami Kemurungan
Bagi anak-anak yang menyedari perubahan pada ibu bapa, pendekatan yang lembut dan penuh empati boleh menjadi langkah pertama untuk membantu mereka mendapatkan sokongan.
Pakar menyarankan agar ahli keluarga memulakan perbualan dengan bertanya khabar dan berkongsi perubahan yang diperhatikan, bukannya mengkritik atau memaksa mereka mendapatkan rawatan.

Anak-anak juga boleh mencadangkan supaya ibu bapa berbincang dengan doktor yang biasa merawat mereka mengenai perubahan emosi atau fizikal yang dialami.
Selain itu, anak-anak boleh meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa melalui aktiviti yang diminati mereka. Perbualan santai tentang hobi, rancangan televisyen atau perkara yang menarik perhatian mereka juga boleh membantu mengeratkan hubungan.
Akhir sekali, kesihatan mental warga emas tidak seharusnya dipandang ringan atau dianggap sebahagian daripada proses penuaan.
Mereka juga memerlukan perhatian, sokongan dan ruang untuk berkongsi perasaan. Dengan keprihatinan keluarga serta bantuan profesional yang sesuai, warga emas berpeluang menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan bermakna.