Vera Diperkenalkan Sebagai Penjenamaan Baharu Libresse
Lina Rosli
Vinda Malaysia memperkenalkan Vera, jenama penjagaan wanita yang sebelum ini dikenali sebagai Libresse.
Membawakan konsep “Direka Oleh Wanita, Untuk Wanita”, Vera menawarkan rangkaian produk penjagaan haid yang direka untuk memberikan keselesaan dan perlindungan kepada wanita sepanjang tempoh haid.

Menurut Vinda, Vera direka dengan mengambil kira bentuk tubuh dan keperluan wanita dalam kehidupan seharian. Setiap produknya menampilkan dua ciri utama, iaitu V-FIT dan V-FLOW.
Untuk V-FIT, ia menggunakan rekaan berbentuk pinggang kerengga yang mengikut lekuk badan wanita, manakala V-FLOW pula mempunyai saluran khas untuk mengagihkan aliran haid secara sekata bagi membantu penyerapan lebih pantas dan mengurangkan risiko kebocoran.

Jenama ini turut disokong oleh pengalaman Vinda Malaysia dalam menghasilkan produk penjagaan dan kebersihan diri, termasuk tisu, produk penjagaan wanita, penjagaan bayi dan lampin dewasa.
Antara jenama di bawah syarikat tersebut ialah Vinda, Tempo, Libresse, Drypers, Dr. P dan TENA.

Sempena pelancarannya, Vera turut mengagihkan satu juta pek produk haid secara percuma kepada wanita di seluruh Malaysia.
Pengagihan dilakukan menerusi program di sekolah, kolej, universiti dan tempat kerja, termasuk kepada pelajar kurang berkemampuan di Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan. Vera juga mengadakan program pendidikan kebersihan haid di sekolah bagi membantu pelajar perempuan memahami dan menjaga kebersihan diri.

Untuk pengetahuan anda juga, rangkaian produk Vera merangkumi tuala wanita, pelapik seluar dalam dan seluar dalam haid.
Apa yang menarik, menurut Vinda, produk seluar dalam haid Daun Sirih mereka mengandungi ekstrak daun sirih dan daun pegaga (Cica). Formulasi ini membantu menghalang pertumbuhan bakteria, menenangkan kulit serta mengawal bau di bahagian intim.

Selain itu, seluar dalam haid ini juga turut dilengkapi rekaan berpinggang tinggi dan pengadang kebocoran di bahagian sisi menerusi perlindungan V-360°. Materialnya yang lembut memberikan keselesaan ketika dipakai, manakala pita pelupusan memudahkan produk digulung sebelum dibuang.
Bagi yang berminat, produk Vera kini boleh didapati di pasar raya, kedai runcit dan farmasi terpilih serta secara atas talian menerusi Shopee, Lazada, TikTok Shop dan Vindamall.