PROTON S70 RS 2027 Diperkenalkan Dengan Reka Bentuk Lebih Sportif
Lina Rosli
PROTON memperkenalkan PROTON S70 RS 2027 sebagai versi terkini sedan sporty mereka dengan reka bentuk luaran lebih agresif, ruang kabin baharu dan enjin turbo 1.5 liter.
Menurut PROTON, model ini membawa identiti RS yang bermaksud Refined Sportiness, selari dengan penampilan lebih sporty menerusi tema Performance with Style.

Dari segi luaran, S70 RS menerima gril dan bampar hadapan yang direka semula dengan aksen merah. Bahagian sisi pula dilengkapi skirt sporty, rim aloi 17 inci dan angkup brek berwarna merah.
Di bahagian belakang pula, model ini menampilkan bampar baharu, diffuser serta kemasan empat muncung ekzos.

Ruang kabinnya turut menerima kemasan dua tona dengan aksen merah, konsol tengah jenis terapung dan pencahayaan ambien.
Model ini juga dilengkapi Commander Dial dan Automatic Column Shifter bagi memudahkan pemandu mengakses beberapa kawalan utama.

Dari segi prestasi, PROTON S70 RS 2027 menggunakan enjin i-GT 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT).
Gabungan ini membolehkan kereta tersebut memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.5 saat.

PROTON turut memaklumkan bahawa rangkaian S70 mencatatkan jualan sebanyak 5,367 unit pada Oktober 2026, menjadikan jumlah jualan terkumpul bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini sebanyak 26,076 unit.
Sementara itu, PROTON turut akan mengadakan acara pengenalan rasmi S70 RS 2027 menerusi pertunjukan fesyen bersama pereka tempatan pada 10 November 2026.
Untuk maklumat lanjut dan mendaftar minat terhadap model ini, layari www.proton.com atau ikuti akaun media sosial rasmi @ProtonCarsOfficial.