UNIQLO x Cecilie Bahnsen Kembali Dengan Koleksi Musim Sejuk 2026, Harga Bermula RM24.90

November 6, 2026
Fesyen

Lina Rosli

UNIQLO bakal melancarkan koleksi kolaborasi bersama pereka fesyen Denmark, Cecilie Bahnsen, untuk musim luruh dan sejuk 2026 bermula 27 November ini.

Koleksi tersebut menampilkan pakaian fleece, skirt dan aksesori dengan sentuhan feminin serta rekaan yang lebih ceria.

Membawakan tema Wandering Together, koleksi ini diinspirasikan daripada suasana berjalan-jalan pada musim sejuk di kawasan desa. Ia menggabungkan gaya feminin dan siluet unik Cecilie Bahnsen dengan material berkualiti serta fungsi praktikal daripada UNIQLO.

Antara pilihan yang ditawarkan termasuk jaket dan vest fleece, skirt, pakaian cut and sew serta aksesori seperti sarung tangan rajut dan topi fleece.

Koleksi ini menggunakan warna yang diinspirasikan daripada musim sejuk Nordik seperti hitam, biru navy gelap, kelabu dan merah jambu lembut.

Dari segi rekaan, beberapa pakaian turut menampilkan sulaman bunga kecil, perincian berkedut pada bahagian pinggang skirt serta tali pelaras pada jaket dan vest untuk mengubah panjang serta bentuk pakaian. Koleksi untuk kanak-kanak perempuan pula merangkumi blaus dengan perincian peplum dan skirt seluar (skort) dengan potongan A-line.

Untuk pasaran Malaysia, koleksi wanita menawarkan lapan pilihan produk manakala koleksi kanak-kanak perempuan mempunyai enam pilihan.

Koleksi ini dijual pada harga bermula RM24.90 untuk aksesori, manakala pakaian ditawarkan pada harga antara RM49.90 hingga RM149.90.

Bagi yang berminat, koleksi UNIQLO x Cecilie Bahnsen Fall/Winter 2026 akan mula dijual pada 27 November 2026 di cawangan UNIQLO terpilih seluruh Malaysia dan menerusi laman web rasmi UNIQLO.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd