myFirst Insta magiBox Boleh Hasilkan Lukisan Dan Komik Menggunakan Suara Kanak-Kanak

November 6, 2026
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Kanak-kanak kini boleh menghasilkan lukisan dan komik sendiri hanya dengan menggunakan suara menerusi myFirst Insta magiBox, sebuah pencetak kreatif yang direka khas untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas.

Menerusinya, ia membolehkan kanak-kanak menceritakan idea atau imaginasi mereka sebelum menukarkannya kepada ilustrasi dan komik empat panel menggunakan ciri Voice-to-Image dan Voice-to-Storybook.

Hasil ciptaan tersebut kemudiannya boleh dicetak untuk diwarnakan atau dijadikan pelekat.

Menariknya, myFirst Insta magiBox menawarkan enam pilihan gaya lukisan, termasuk anime, kartun, lakaran pensel, seni garisan, Ink Splash dan doodle. Ini membolehkan kanak-kanak menghasilkan pelbagai jenis ilustrasi berdasarkan idea yang sama.

Dari segi penggunaan, peranti ini dilengkapi skrin HD 2.8 inci, bateri 1,300mAh dan sambungan USB-C. Ia turut menggunakan teknologi cetakan terma tanpa dakwat – dengan ini ibu bapa tidak perlu risau tentang penggunaan kartrij atau tumpahan dakwat.

Setiap gambar boleh dicetak dalam kira-kira 10 saat selepas proses penjanaan selesai.

myFirst Insta magiBox juga menyokong 26 bahasa termasuk Bahasa Melayu. Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu menyambungkannya dengan telefon untuk persediaan awal dan kemudian, peranti ini boleh digunakan secara kendiri.

Harus diingatkan, sambungan internet masih diperlukan untuk menjana gambar dan cerita.

Ia turut dilengkapi sistem penapisan kandungan bagi menghalang penghasilan ilustrasi yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Peranti ini ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Blossom Pink dan Aqua Blue dan dijual pada harga RM329 sebuah.

Di dalam kotak pembelian, pengguna turut menerima dua sarung silikon, tiga gulung pelekat terma, dua gulung pelekat jenis Quick-Peel, kabel pengecas USB-C serta pen penanda lapan warna.

Untuk maklumat lanjut mengenai myFirst Insta magiBox, layari laman web rasmi myFirst.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd