Ini 4 Produk Dyson Untuk Penjagaan Rambut Dan Rumah, Sesuai Dijadikan Hadiah
Lina Rosli
Bersempena dengan musim perayaan hujung tahun ini, Dyson ingin mengetengahkan empat pilihan produk penjagaan rambut dan kediaman yang boleh dijadikan hadiah untuk insan tersayang.
Koleksi ini merangkumi alat pengering dan pelurus rambut, pengering rambut kompak untuk dibawa ketika melancong, pencuci lantai serta vakum nirwayar.

Untuk anda yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk ini, berikut adalah beberapa perkara menarik yang boleh anda pertimbangkan.
#1 Dyson Airstrait – RM2,599
Bagi anda yang gemar menggayakan rambut, Dyson Airstrait kini ditawarkan dalam warna Plum dan Copper sebagai edisi hadiah terhad.

Peranti ini menggabungkan fungsi pengering dan pelurus rambut, membolehkan rambut diluruskan terus daripada keadaan basah sehingga kering hanya menggunakan aliran udara tanpa plat pemanas.

Teknologi ini membantu mengurangkan kerosakan akibat haba, selain menjadikan rambut lebih lembut, licin dan kelihatan dua kali lebih berkilat.
Bukan sekadar itu, ia juga boleh menjimatkan masa penggayaan sehingga lapan minit bagi setiap penggunaan.

#2 Dyson Supersonic Travel Hair Dryer – RM1,499
Untuk anda yang kerap bercuti dan melancong sama ada di dalam atau luar negara, Dyson Supersonic Travel merupakan pengering rambut mudah alih yang lebih kecil dan ringan berbanding model Dyson Supersonic asal.
Ia mempunyai saiz 32% lebih kecil dan berat 25% lebih ringan, menjadikannya lebih mudah dibawa ketika bercuti.

Pengering rambut ini turut dilengkapi kawalan haba pintar untuk membantu melindungi rambut daripada kerosakan akibat haba melampau. Ia juga menyokong voltan universal yang membolehkannya menyesuaikan diri dengan bekalan elektrik di negara berbeza.

Walaupun ia tampil dengan saiz dan binaan baharu, peranti ini dilihat masih serasi dengan aksesori Dyson Supersonic sedia ada.
#3 Dyson Clean+Wash Hygiene – RM2,699
Bagi memudahkan kerja membersihkan rumah, Dyson Clean+Wash Hygiene menggabungkan fungsi vakum dan pencuci lantai dalam satu peranti. Ia boleh menyedut habuk, mengutip serpihan makanan dan kotoran kering, selain membersihkan tumpahan cecair dalam satu laluan tanpa perlu menggunakan vakum terlebih dahulu.
Peranti ini dilengkapi penggelek mikrofiber yang sentiasa dibasahkan dengan air bersih ketika digunakan. Ini membolehkan lantai dibersihkan dengan lebih sekata, selain membantu memastikan permukaannya cepat kering tanpa meninggalkan kesan kotoran.

Menariknya, Dyson Clean+Wash Hygiene tidak menggunakan penapis terbina. Sebaliknya, habuk dan air kotor dikumpulkan di dalam bahagian kepala pembersih.
Reka bentuk ini membantu mengurangkan pelepasan bakteria dan bau, di samping mengelakkan masalah penyumbatan.

Untuk membersihkan kawasan yang sukar dicapai, peranti ini juga boleh dibaringkan sehingga ketinggian 113mm bagi memudahkan pengguna membersihkan ruang di bawah perabot rendah.
Selepas selesai digunakan, pengguna boleh mengaktifkan fungsi pembersihan kendiri untuk membersihkan penggelek mikrofiber.
Bukan itu sahaja, dok pengecasnya turut dilengkapi sistem pengeringan udara panas pada suhu 85°C bagi mengeringkan penggelek supaya sedia digunakan semula.

Dyson V10 Optic Cordless Vacuum – RM2,499
Untuk memastikan rumah sentiasa bersih, Dyson V10 Optic ialah vakum nirwayar yang dilengkapi Fluffy Optic cleaner head.
Teknologi pencahayaan pada kepala pembersih ini membantu menampakkan habuk halus yang sukar dilihat pada permukaan lantai keras, sekaligus memudahkan pengguna mengenal pasti kawasan yang masih perlu dibersihkan.

Ia menawarkan kuasa sedutan sehingga 150 Air Watts yang membantu menyedut habuk dan kotoran dengan berkesan. Sistem penapisan tertutupnya pula mampu memerangkap sehingga 99.99% zarah mikroskopik, termasuk zarah sekecil 0.3 mikron.

Bagi anda yang berminat, produk-produk Dyson ini boleh didapati menerusi laman web rasmi Dyson Malaysia.