MILO Semarakkan Amalan Kitar Semula, 515 Juta Kotak Minuman Berjaya Dikumpulkan
Lina Rosli
Amalan kitar semula boleh dimulakan dengan langkah kecil dalam kehidupan seharian.
Menerusi inisiatif MILO Sayang Bumi, MILO menggalakkan orang ramai mengitar semula kotak minuman UHT terpakai melalui empat langkah mudah yang boleh dilakukan di rumah atau sekolah.

Kaedah yang diperkenalkan ialah M.F.F.F, iaitu Masukkan straw, Flip, Flap dan Flat. Pengguna hanya perlu memasukkan semula straw ke dalam kotak, membuka lipatan bahagian atas dan bawah sebelum meleperkan kotak tersebut.
Selepas itu, kotak minuman boleh dihantar ke tong atau pusat pengumpulan kitar semula yang disediakan.

Kotak minuman terpakai boleh dijadikan bangku dan peralatan sekolah
Kotak minuman yang dikumpulkan akan melalui proses pengasingan untuk mendapatkan dua bahan utama, iaitu pulpa kertas dan PolyAl (campuran polietilena dan aluminium).
Bahan ini kemudiannya diproses menjadi papan komposit ECOPeal untuk menghasilkan pelbagai produk kegunaan awam.

Antaranya termasuk bangku taman atau sekolah yang menggunakan kira-kira 18,000 kotak minuman terpakai serta troli bola yang dihasilkan daripada sekitar 10,574 kotak.
Inisiatif troli bola ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan WIAFN. Produk lain termasuk pasu bunga serta jubin dan papan lantai.

Kumpul lebih 4,000 kg kotak minuman pada 2025
Usaha menggalakkan kitar semula turut diperluaskan ke sekolah menerusi Program Tenaga Untuk Kebaikan.
Pada 2025, program ini melibatkan 200 sekolah perintis dan berjaya mengumpulkan sebanyak 4,243 kg kotak minuman terpakai, bersamaan kira-kira 300,000 kotak.

Sekolah yang mengambil bahagian juga berpeluang menebus pelbagai peralatan seperti set bola keranjang, set trek dan padang, set bilik darjah serta set ping pong.
Bagi 2026, program ini diperluaskan ke 13 negeri di seluruh Malaysia dengan sokongan KPM dan rakan strategik.

Sementara itu, The CAREton Project yang dilaksanakan bersama Tetra Pak sejak 2012 telah berjaya mengumpulkan sebanyak 515 juta kotak minuman terpakai sehingga 2025.
Usaha ini turut menyumbang kepada pembinaan 133 bangunan menggunakan genting bumbung mesra alam hasil kitar semula, selain menyediakan lebih 700 pusat pengumpulan di seluruh Malaysia.

Menerusi pelbagai usaha ini, MILO berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat menjadikan kitar semula sebagai sebahagian daripada rutin harian.