Harman Kardon Allure 2 Dan Liora Diperkenalkan, Gabungkan Audio Premium Dengan Reka Bentuk Unik
Lina Rosli
Harman Kardon memperkenalkan dua pembesar suara terbaharu untuk pasaran Malaysia, iaitu Harman Kardon Allure 2 dan Harman Kardon Liora.
Kedua-dua model ini menggabungkan keupayaan audio premium dengan reka bentuk yang lebih menonjol, menjadikannya bukan sekadar peranti untuk menikmati muzik, tetapi juga pelengkap kepada dekorasi ruang kediaman.

Harman Kardon Allure 2 – Dijual Pada Harga RM1,099
Harman Kardon Allure 2 merupakan pembesar suara Bluetooth kompak yang menampilkan kubah lutsinar, pencahayaan ambien 360 darjah dan reka bentuk yang membolehkan bunyi disebarkan ke seluruh ruang.
Dari segi audio, ia dilengkapi tiga pemacu julat penuh yang menghasilkan penyampaian bunyi ke pelbagai arah, bersama subwoofer yang menghala ke bawah untuk memberikan bunyi bes lebih mendalam.

Teknologi AI Sound Boost turut digunakan bagi melaraskan output audio secara masa nyata, sekali gus membantu mengekalkan bunyi yang jelas dan bes yang terkawal tanpa herotan pada pelbagai tahap kelantangan.
Selain kualiti audio, Allure 2 turut menawarkan lima mod pencahayaan iaitu Sunrise, Fireplace, Ocean, Aurora dan Blossom.

Setiap mod mempunyai corak serta warna tersendiri, daripada pancaran keemasan dan rona ambar sehinggalah alunan cahaya biru serta warna-warni yang diinspirasikan daripada fenomena aurora.
Pengguna boleh menukar mod pencahayaan menggunakan butang fizikal pada pembesar suara atau melalui aplikasi Harman Kardon.
Aplikasi tersebut turut membolehkan pengguna mengubah warna, tahap kecerahan dan kelajuan animasi cahaya mengikut suasana ruang.

Harman Kardon Liora – Dijual Pada Harga RM5,399
Bagi pengguna yang mahukan pembesar suara dengan rekaan lebih unik, Harman Kardon Liora hadir sebagai model mercu yang menggabungkan seni bina akustik baharu dengan elemen pencahayaan dan reka bentuk premium.
Liora menggunakan dua subwoofer bersaiz 5 inci dalam konfigurasi push-push yang ditempatkan secara simetri pada bahagian atas dan bawah pembesar suara. Kedua-duanya beroperasi dalam arah bertentangan bagi mengimbangi getaran, sekali gus menghasilkan bunyi bes yang lebih mendalam, berkuasa dan terkawal.

Ia turut dilengkapi pemacu julat pertengahan dan tweeter khusus yang menghala ke pelbagai arah untuk menghasilkan penyampaian bunyi Harman Kardon dalam liputan 180 darjah.
Gabungan ini direka untuk memberikan pengalaman audio yang lebih luas dengan perincian bunyi yang jelas.

Dari segi reka bentuk, Liora menampilkan dua kubah lutsinar yang saling berhadapan pada bahagian tengah, dikelilingi fabrik tenunan halus 360 darjah.
Struktur monokristal di bahagian dalam pula mempunyai lengkungan beralun yang direka untuk memantulkan cahaya, menghasilkan kesan pencahayaan seakan-akan bergerak di dalam kubah.

Untuk kawalan dan penstriman muzik, pengguna boleh menggunakan aplikasi Harman Kardon One serta memainkan muzik melalui sambungan Wi-Fi atau Bluetooth.
Ia turut mempunyai butang Moment yang membolehkan pengguna memainkan senarai lagu, album atau landskap bunyi yang telah ditetapkan.

Menariknya, dua unit Liora juga boleh dipadankan secara nirwayar untuk menghasilkan pengalaman audio stereo yang lebih luas.
Bagi yang berminat, pra-tempah untuk Harman Kardon Allure 2 dan Liora kini dibuka melalui gedung rasmi Harman Kardon di Shopee dan Lazada.

Kedua-dua model ini akan mula dijual secara rasmi pada 7 Disember 2026.
Berikut ialah harga jualan yang ditawarkan:
- Harman Kardon Allure 2 – RM1,099
- Harman Kardon Liora – RM5,399
- Harman Kardon Liora Stand – RM799
- Harman Kardon Liora bersama Stand – RM5,688