Bagaimana Tiram Menghasilkan Mutiara Yang Bulat Dan Berkilau?
Lina Rosli
Tidak semua barang perhiasan dan aksesori diri diperbuat daripada logam atau batu yang ditemui dari kerak bumi. Sebagai contoh, mutiara juga merupakan antara barang perhiasan yang turut diminati ramai yang mana ia berasal daripada dalam tiram.
Tiram adalah makhluk hidup yang membentuk mutiara berkilat daripada butiran pasir. Mutiara terbentuk apabila objek asing seperti pasir atau sekeping kulit secara tidak sengaja memasuki badan dalam tiram, dipanggil mantel.

Apabila tiram tidak dapat mengeluarkan objek asing, ia akan merembeskan bahan kristal licin dan keras yang dipanggil nacre yang merupakan salutan luar mutiara di sekeliling bahan asing berkenaan. Lapisan demi lapisan, tiram akan terus merembeskan nacre selagi bahan asing masih berada di dalam badannya, dan akibatnya, permata berkilauan yang dipanggil mutiara terhasil.
Perbezaan Mutiara Dahulu Dan Yang Kini
Sejak mutiara pertama ditemui berkilauan di dalam tiram, mutiara telah didambakan dan dihargai oleh manusia di seluruh dunia. Pada asalnya, mutiara yang ada ialah mutiara asli. Ia ditemui ditanam oleh tiram dan kerang sendiri selama bertahun-tahun dan bukannya seperti masa kini yang mana mutiara diperoleh dari tiram yang diternak.

Sepanjang sejarah, mutiara adalah batu permata yang sangat diidamkan oleh golongan diraja dan pedagang sehinggakan masyarakat terdahulu tidak boleh memakai mutiara dan ianya hanya dikhaskan secara eksklusif untuk diraja dan bangsawan sahaja. Tambahan lagi, kos pemerolehan mutiara adalah sangat tinggi sehingga kebanyakan orang biasa tidak mampu membelinya.
Menjelang tahun 1800-an, aktiviti penangkapan mutiara telah dilaksanakan secara berlebihan dan sekaligus telah menghabiskan kebanyakan populasi tiram di Amerika. Oleh itu, pada awal 1900-an, revolusi dalam pengeluaran mutiara berlaku.

Kokichi Mikimoto, anak kepada pembuat mi Jepun, menggunakan teknik memasukkan ‘perengsa’ ke dalam tiram untuk merangsang rembesan nacre yang membentuk mutiara secara buatan. Menerusi eksperimen itu, mutiara jenis Akoya berjaya diperoleh selepas selepas hampir sedekad percubaan.
Dan sejak daripada situ, era pengeluaran mutiara pada kuantiti yang besar mula popular dan terdapat beberapa lagi kaedah lain seperti penggunaan jarum cantuman khas yang dicipta oleh Mise untuk mengeluarkan dan membentuk mutiara telah diberikan paten pada tahun 1907 serta kaedah Mise-Nishikawa yang digunakan oleh kebanyakan juruteknik cantuman hari ini untuk mencipta mutiara Akoya bulat sempurna pada tahun 1916.
Harus diingatkan, secara umumnya, tidak semua mutiara menjadi cantik, berkilat dan bulat. Mutiara yang berbentuk tidak sekata ini dipanggil mutiara barok yang biasanya mempunyai nilai yang rendah di pasaran. Oleh yang demikian, teknik pengkulturan moden mula giat diperkenalkan yang berjaya varieti dan hibrid mutiara yang baru dan menakjubkan muncul setiap beberapa tahun seperti Tahitian, Freshwater dan juga Laut Selatan.