Penyelidik Jepun Hadir Dengan Penyepit Elektrik Yang Bantu Tingkatkan Rasa Masin Pada Makanan
Lina Rosli
Pengambilan makanan dengan kandungan garam yang tinggi dilihat masih lagi berleluasa dalam kalangan individu. Sekiranya ia dikonsum pada tempoh yang kerap dalam sajian makanan harian, ia berkemungkinan besar boleh menjejaskan kesihatan tubuh termasuklah tekanan darah tinggi yang merupakan punca utama strok dan penyakit jantung.
Secara purata, tahap pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah agak tinggi iaitu pada kadar purata 7.9 gram dan ianya telah melebihi saranan hanya lima gram sehari oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sementara di Jepun pula, pengambilan garam harian adalah dua kali ganda lebih tinggi iaitu kira-kira 10 gram garam setiap hari.

Oleh yang demikian, penyelidik di Jepun baru-baru ini telah membangunkan penyepit elektrik yang boleh meningkatkan rasa masin pada makanan yang mana rasa tersebut diwujudkan tanpa meletakkan atau menggunakan garam yang banyak pada makanan yang disajikan.
Penyelidikan tersebut dianggotai oleh profesor Universiti Meiji Homei Miyashita bersama-sama dengan pembuat minuman Kirin Holdings Co. Mereka mewujudkan rasa masin dengan cara menggunakan rangsangan elektrik dan komputer mini yang dipakai pada gelang tangan.

Melaluinya, peranti tersebut akan menggunakan arus elektrik aras rendah untuk menghantar ion natrium daripada makanan melalui penyepit dan sekaligus menyebabkan peningkatan rasa masin sebanya 1.5 kali ganda daripada rasa asal.
Setakat ini, pembangunan penyepit ini masih lagi dalam fasa prototaip dan ianya perlu diperhalusi lagi kaedah yang digunakan bagi mengawal rasa yang wujud sewaktu penggunaan. Sekiranya penyepit ini berjaya dikomersialkan, ia dijangka dapat membantu individu mengurangkan pengambilan garam atau natrium dalam diet mereka tanpa perlu melakukan perubahan yang drastik pada tabiat pemakanan.
Sumber: CNN