Tips Menghalang Semut Gula Daripada Merosakkan Makanan Di Dapur Anda
Lina Rosli
Siapa sahaja yang tidak berasa marah sekiranya melihat gula yang baru dibeli dan masih belum digunakan lagi sudah dipenuhi dengan tentera semut di dalamnya.
Apabila perkara ini terjadi, sudah tentu ia akan memerlukan kerja tambahan untuk membersihkan dan menguruskan gula sebelum boleh mula digunakan.
Mengapa Semut Gula Boleh Muncul Di Dapur Anda?
Terdapat banyak sebab yang boleh menjadi faktor mengapa semut gula mungkin muncul di rumah anda. Antaranya termasuk:
- Faktor cuaca seperti suhu yang terlalu panas ataupun suhu yang sejuk dan lembap.
- Rumah atau dapur terletak berdekatan dengan sarang semut.
- Mempunyai sumber makanan yang terdedah.
Bercakap mengenai cuaca dan suhu, anda mungkin perasan semut lebih kerap masuk ke dalam rumah pada musim panas kerana itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kebanyakan serangga lebih aktif pada bulan-bulan yang lebih panas.
Semut kadang-kadang masuk ke dalam rumah untuk mencari air, terutamanya semasa musim kering. Dalam kes ini, anda mungkin melihatnya di bilik mandi atau bahagian lain yang lembap di rumah.

Selain itu, hujan lebat juga boleh menyebabkan sarang semut banjir dan memaksa mereka berpindah ke bangunan berdekatan, seperti dapur anda.
Untuk pengetahuan anda lagi, semut adalah sebahagian daripada krew pembersihan alam semula jadi yang mana mereka cekap mencari dan mengeluarkan makanan yang terabur atau tersisa di sekitar rumah. Oleh sebab itu, sekiranya rumah anda mempunyai makanan yang terdedah, semut gula akan meneroka masuk ke dalam dapur untuk membersihkannya.
Jika semut gula tiba-tiba muncul di dalam rumah anda, perkara utama yang perlu anda lakukan adalah perhatikan tingkah dan aktiviti semut gula. Jika mereka mengganggu anda, gunakan umpan untuk menarik semut dari keluar daripada kawasan itu dan selepas beberapa waktu, kesemua semut tersebut akan mati dengan sendirinya.
Cara Menghalang Semut Gula Dari Membina Sarang Di Rumah Anda
Berikut adalah penyelesaian mudah dan berisiko rendah yang akan membantu mencegah masalah semut dalaman.
Mula-mula, pastikan ruang kecil antara kayu kabinet dan celah dinding di sekeliling kawasan rumah anda ditutup, terutamanya di tempat anda menyimpan makanan berbungkus seperti gula, biskut, serbuk, makanan manis, mi segera dan sebagainya.
Pada bekas makanan yang menyimpan makanan manis seperti snek dan gula pasir, anda boleh menggunakan rempah ratus yang mempunyai aroma yang kuat seperti kayu manis, cengkih, daun pudina, daun selom dan lain-lain sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghalang semut daripada menyerang makanan anda.

Mengapa rempah ratus boleh menghalangnya? Hal ini kerana, menurut Insect Cop, rempah ratus dan bahan-bahan ini merupakan aroma yang tidak digemari semut. Ia sememangnya tidak membunuh semut serta merta tetapi berupaya membuatkan semut tersebut pulang ke tempat asalnya.
Kemudian, minta bantuan syarikat kawalan serangga perosak untuk merawat dan menghapuskan tempat pembiakan serangga di kawasan sekitar rumah termasuk sarang serangga yang masih aktif. Ini bagi mengelakkan daripada rumah anda diserang serangga untuk tempoh yang terlalu kerap.

Selain daripada aktiviti penghapusan yang melibatkan semut, anda juga perlu tetapkan tabiat membersihkan ruang dapur dengan konsisten dan teliti. Sebagai contoh, pastikan anda bilas pinggan mangkuk kotor dan toskan sinki daripada sebarang air bertakung. Selepas sinki dibersihkan daripada semua pinggan, lap sinki sepenuhnya dengan tuala kertas kering dan pastikan anda tidak meninggalkan sebarang sisa makanan atau kelembapan.
Sampah yang berbau dan kotor juga boleh menjadi tarikan besar bagi semut gula. Untuk memusnahkan feromon mereka, tuangkan sedikit peluntur ke dalam pelupusan sampah setiap beberapa hari kerana ini akan memusnahkan mana-mana bau makanan yang disukai semut.
Akhir sekali, gunakan beg sampah yang tebal dan kuat untuk mengelakkan lubang daripada terbentuk dan buang sampah setiap kali ia penuh sebelum ia mula mengeluarkan bau busuk.