Tahukah Anda Mengapa Pasir Di Pantai Mempunyai Warna Dan Bentuk Yang Berbeza?

September 30, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Berjalan dan bersiar-siar di sepanjang pantai mungkin sering membuatkan anda fokus kepada deruan angin dan bunyi ombak pantai yang bersilih ganti antara datang dan pergi.

Namun, pernahkah anda melihat lebih dekat pada campuran berbutir di bawah tapak kaki anda? Mengapa ada kalanya ia tampak berkilau, dan pada waktu lain ia kelihatan kusam dan gelap?

Menjawab kepada persoalan ini, campuran berbutir yang dimaksudkan tadi adalah pasir. Sama ada putih, hitam ataupun merah jambu, pasir adalah bahan berbutir yang terbentuk secara semula jadi dan terdiri daripada zarah batu dan galian kecil yang halus.

Setiap pasir memberikan petunjuk tentang sejarah pantai. Warna pasir boleh menceritakan tentang aktiviti manusia di sekitar kawasan itu selain turut menunjukkan jenis-jenis hidupan laut yang menjadikan pantai itu sebagai rumah.

Di Sebalik Perbezaan Warna Dan Bentuk Pasir Yang Berbeza

Jika lihat sekilas lalu dengan mata kasar, warna pasir tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Tetapi, sekiranya diterokai secara terperinci, setiap butir pasir yang ada di permukaan rata di sekitar pantai menunjukkan warna dan bentuk pasir yang berlainan.

Ini kerana warna pasir diperoleh daripada mineralogi atau struktur fizikal kristal yang mengisi pasir. Mineral ini kebiasaannya datang daripada hakisan landskap yang berdekatan sama ada daripada batu-batu besar, moluska, pembumian cengkerang dan banyak lagi yang telah berlaku sejak puluhan dan ratusan tahun yang lepas.

Pasir ini juga berkemungkinan besar diperoleh daripada serpihan batu kecil ini datang dari pergunungan di sekitar pantai yang mana ia terhakis dan dibawa ke pantai oleh sungai.

Serpihan yang berwarna putih biasanya adalah kuarza, manakala serpihan merah jambu dan kuning air berkemungkinan besar diperoleh daripada feldspar sementara hitam biasanya hornblende atau mika biotit.

Untuk sesetengah tempat seperti di Hawaii pula, mereka mempunyai dasar lautan yang diperbuat daripada lava hitam yang mana ia akan menghasilkan pasir pantai yang banyak berwarna hitam. Manakala di California pula, pasir yang biasa dilihat adalah warna putih kerana kawasan tersebut mempunyai mineral seperti kuarza dan kepingan cengkerang yang diperbuat daripada kalsium karbonat.

Sumber: Science American Earth Eclipse

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd