Jenis-Jenis Bunga Yang Boleh Dimakan Dan Digunakan Di Dalam Masakan
Lina Rosli
Tahukah anda bahawa selain buah-buahan, sayur-sayuran dan dedaun, bunga-bungaan turut boleh dimakan dan digunakan di dalam masakan?
Ia bukan sekadar diletakkan sebagai hiasan di pinggan atau mangkuk, bunga-bungaan sebenarnya turut memberikan khasiat yang tersendiri sekiranya digunapakai didalam masakan.

Namun, harus diingatkan bahawa tidak semua bunga boleh dimasak dan diletakkan di dalam hidangan.
Untuk mengetahui lebih lanjut, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda, jenis-jenis bunga yang boleh anda tambah di dalam hidangan anda bagi menjadikannya lebih versatile.
Berikut adalah 7 jenis bunga yang sesuai dan baik untuk dimakan:
#1 Bunga Marigold
Bunga Marigold biasanya digunakan di dalam hidangan yang memerlukan rasa sitrus padanya. Selain menggunakan buah sitrus seperti limau nipis dan limau kastruri, anda boleh cuba variasikan rasa pada hidangan anda dengan menambah bunga Marigold ke dalamnya.
#2 Bunga Chamomile
Untuk teh, tahukah anda bahawa selain daun teh biasa, bunga juga sering digunakan sebagai bahan yang ditambah ke dalam minuman.
Dan antara bunga yang popular digunakan di dalam penyediaan teh adalah bunga Chamomile. Untuk pengetahuan anda, bunga Chamomile hadir dengan rasa seakan epal yang pastinya membuatkan hidangan anda bertambah lazat dan unik.
Selain chamomile, antara bunga lain yang turut digunakan di dalam penyediaan teh adalah bunga Melati, bunga Ros, bunga Lavender dan juga Orkid.
#3 Roselle
Bunga Roselle adalah variasi kepada bunga raya yang mana ia mempunyai rasa yang masam dan seringkali digunakan sebagai penambah rasa kepada air minuman.
Selain itu juga, ia sebenarnya turut boleh dihidangkan sebagai jem untuk salad dan juga roti.

#4 Bunga Dandelion
Mempunyai kelopak yang halus, bunga ini menawarkan pelbagai keunikan dalam rasa. Menariknya, bahagian bunga bukan satu-satunya bahagian dandelion yang boleh dimakan. Malah, setiap bahagian dandelion ini boleh dinikmati termasuk akar, batang dan daunnya.
Sebagai contoh, akarnya sering direndam untuk membuat teh, manakala bunganya pula boleh dimakan mentah sebagai salad atau topping sandwic.
#5 Bunga Nasturtium
Bunga Nasturtium adalah bunga yang paling kerap digunakan dalam masakan kerana bunganya yang berwarna cerah dan menawarkan rasa yang unik dan sedap. Bunga ini mempunyai profil rasa pedas yang sesuai jika digunakan untuk lauk jenis savoury seperti pesto.
#6 Bunga Pansy
Bunga Pansy adalah jenis bunga kecil yang hadir dalam pelbagai warna dan yang paling popular adalah warna ungu, biru dan kuning.
Biasanya, bunga pansy mempunyai rasa bunga yang lembut, segar dan ringan yang menjadikannya sangat baik untuk pencuci mulut, seperti pastri, kek dan biskut.

#7 Moringa
Lebih kelihatan seperti daun, Moringa biasanya hadir dengan rasa yang pahit dan sedikit manis. Namun, disebabkan tekstur daunnya yang lembut, daun Moringa kering sering digunakan dan ditaburkan ke dalam smoothie, yogurt dan jus.
Menarik bukan? Sekiranya anda ingin mendapatkan kesemua jenis bunga yang boleh dimakan ini, pastikan anda membelinya di pasaraya atau kedai yang menanamnya secara organik.
Hal ini kerana, bunga-bunga di kedai bunga biasa dikhuatiri telah disembur dengan racun perosak yang berkemungkinan besar boleh menyebabkan kesan negatif ke atas kesihatan anda.