Kesan Theobromine Dalam Coklat Terhadap Kualiti Tidur Individu

June 25, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Coklat ini sering didefinisikan sebagai snek atau makanan yang menggemukkan. Namun tahukah anda bahawa terdapat beberapa fungsi coklat yang lain? Antaranya termasuk memberikan tenaga kepada badan jika diambil pada kuantiti yang sepatutnya.

Seperti yang ramai ketahui, coklat mengandungi kafein tetapi dalam jumlah yang berbeza-beza bergantung pada jenisnya. Sebagai contoh, bar coklat susu Hershey 1.5-ounce mengandungi 9mg kafein, kira-kira tiga kali lebih banyak kafein daripada secawan kopi tanpa kafein. Sementara bar coklat gelap Hershey pula mempunyai kira-kira 30mg. 

Mengapa Coklat Boleh Membuat Anda Kekal Berjaga?

Salah satu sebab utama mengapa sesetengah individu sukar melelapkan mata selepas menikmati coklat adalah kerana kandungan theobromine – sejenis bahan semula jadi yang terdapat dalam koko.

Theobromine berfungsi merangsang sistem saraf pusat dan meningkatkan kadar denyutan jantung. Disebabkan kesan stimulasi ini, ia boleh menyebabkan seseorang kekal bertenaga dan berasa lebih segar, sekaligus menyukarkan proses tidur. Kandungan ini lebih tinggi dalam coklat gelap, yang mengandungi peratusan koko lebih tinggi berbanding coklat susu atau coklat putih.

Namun sebalinya, coklat putih tidak mengandungi theobromine atau ia mungkin hanya memiliki sejumlah kecil kafein kerana ia tidak diperbuat daripada pepejal koko, tetapi hanya lemak koko. Oleh itu, coklat putih mungkin tidak memberikan kesan yang sama seperti coklat gelap terhadap pola tidur anda.

Sekiranya anda sedang mengamalkan rutin tidur yang sihat atau mengalami masalah insomnia, adalah lebih baik untuk mengelakkan pengambilan coklat gelap pada waktu malam dan memilih alternatif yang lebih sesuai.

Adakah Bar Coklat Boleh Mempengaruhi Corak Tidur Anda?

Secara umumnya, pengambilan bar coklat tidak akan menjejaskan corak tidur anda dalam jangka masa panjang. Namun, dalam keadaan tertentu, terutamanya jika diambil sebelum tidur dan digabungkan dengan makanan atau minuman berkafein lain, ia boleh menyebabkan gangguan tidur buat sementara waktu.

Bagi mereka yang mengalami kesukaran untuk tidur atau ingin meningkatkan kualiti tidur, menggantikan coklat dengan segelas susu adalah satu pilihan yang lebih baik. Susu bukan sahaja membantu menenangkan tubuh, tetapi juga mengandungi melatonin – hormon semula jadi yang berperanan dalam mengatur kitaran tidur dan bangun seseorang.

Sebaliknya, jika anda perlu kekal berjaga malam, contohnya untuk menyiapkan tugasan atau memandu jarak jauh, coklat gelap boleh dijadikan pilihan sebagai rangsangan tenaga semula jadi. Lebih tinggi peratusan koko dalam coklat gelap, lebih tinggi kandungan kafein dan theobromine yang dimiliki – sekali gus memberi kesan peka yang lebih kuat.

Ringkasnya, coklat tidak akan menjejaskan tidur secara drastik, tetapi masa pengambilannya memainkan peranan penting. Pilihlah jenis coklat dan waktu pengambilan yang sesuai mengikut keperluan tubuh dan rutin harian anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd