Amalan Diet Sihat Boleh Mengurangkan Risiko Kekejangan Dan Sakit Perut Ketika Haid

October 14, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Ramai dalam kalangan wanita terutama sekali remaja perempuan sering mengalami cramp atau kekejangan perut yang berlaku sewaktu kedatangan haid.

Menurut laporan, kira-kira 85% remaja perempuan mengalami kembung perut yang menyakitkan, kekejangan dan sakit perut semasa haid bulanan mereka dan bagi sesetengah orang masalah itu boleh berlarutan selama bertahun-tahun.

Terdapat beberapa faktor yang boleh memberi kesan kepada kitaran haid dan sekaligus menyebabkan kekejangan haid. Antara faktor tersebut adalah:

  • Wanita yang berusia kurang dari 30 tahun dan mengalami usia baligh yang awal sekitar 11 tahun atau lebih muda.
  • Sering mengalami pendarahan atau keadaan tidak normal semasa haid.
  • Tidak pernah melahirkan anak.
  • Sejarah perubatan keluarga.
  • Merokok.

Bagi yang tidak mengetahui, punca berlakunya kesakitan dan kekejangan sewaktu tempoh haid adalah disebabkan oleh saluran darah dan otot yang mengecut. Penyelidik mendapati bahawa sekiranya tahap prostaglandin lebih tinggi, ia akan menyebabkan pengecutan rahim yang lebih kuat dan lebih kerap pada wanita yang mengalami sakit haid berbanding wanita yang mengalami sedikit atau tiada kesakitan.

Apabila ditambah lagi dengan makanan yang menyebabkan keradangan, ia sekaligus mencetuskan ketidakselesaan.

Bagaimana Mengatasi Atau Mengurangkan Kekerapan Kekejangan Perut Semasa Haid?

Menurut analisis kajian baru, amalan diet yang positif boleh menjadi penyelesaian yang agak mudah selain dapat memberikan kelegaan yang besar untuk individu.

Hal ini kerana, pakar mendapati bahawa diet yang menghasilkan peratusan keradangan yang tinggi adalah saling berkait dengan punca kekejangan. Antara contoh diet tinggi radang termasuklah daging haiwan, minyak, gula, garam, dan juga kopi.

Dalam satu kajian di Sepanyol, individu yang minuman tinggi gula seperti Coca-Cola dan makan daging untuk jumlah yang banyak, besar kemungkinan mereka akan mengalami kesakitan semasa kitaran haid berbanding wanita yang makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.

Malah, kajian pada 2020 mendapati wanita yang makan kurang daripada dua hidangan buah-buahan sehari berkemungkinan besar mengalami kesakitan semasa kitaran haid.

Tidak dinafikan kesemua makanan dan minuman ini semestinya lazat untuk dinikmati tidak kira waktu. Namun, jika diamalkan tanpa kawalan yang betul, ia dilihat akan memudaratkan kesihatan diri.

Oleh sebab itu, apa yang perlu individu praktikkan hari ini adalah amalan diet anti-radang yang merangkumi buah-buahan, sayur-sayuran, makanan tinggi omega-3 seperti salmon, tuna, sardin, walnut, chia dan biji rami.

Di samping itu juga, selain pemakanan yang sihat, tidur yang lena dan bersenam adalah langkah berkesan dalam mengurangkan tempoh dan keterukan kekejangan.

Tetapi, sekiranya keadaan kekejangan menjadi teruk dari masa ke semasa, adalah penting untuk individu berjumpa dengan penyedia penjagaan kesihatan bagi memastikan tidak ada keadaan perubatan lain yang mungkin turut menyumbang kepada gejala sewaktu datang haid.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd