Kasut Gabungan 3 Jenama – Supreme X Swarovski X Vans Old Skool

October 20, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Supreme bersama-sama dengan Swarovski dan Vans telah hadir dengan koleksi baharu untuk musim luruh bagi tahun 2022. Ketiga-tiga jenama ini telah menggabungkan keunikan dan perincian ikonik mereka untuk sebuah kasut yang istimewa.

Menggunakan Vans Old Skool sebagai titik utama koleksi ini, Supreme x Swarovski x Vans Old Skool Fall 2022 hadir dengan empat pilihan warna yang memainkan reka bentuk serta tona klasik seperti hitam, merah, coklat dan ungu.

Melengkapkanya adalah corak kotak-kotak ikonik Vans dan kemudiannya diserlahkan dengan nilai estetik mewah yang unik oleh Swarovski.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, kasut istimewa ini menampilkan bahagian atas suede dan kanvas premium dengan corak kotak-kotak bertatah kristal Swarovski di bahagian tepi. Perincian tambahan datang dalam bentuk lapisan kulit putih, insole merah bercetak dan tali bertona yang sepadan.

Manakala jalur Jazz putih, tag Vans, dan sulaman “Supreme” pula diletakkan di bahagian belakang berfungsi sebagai penjenamaan pada kasut.

Menurut laman Hypebeast, kasut kerjasama Supreme x Swarovski x Vans Old Skool Fall 2022 ini hanya ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan dijangka akan diperluaskan untuk pasaran Jepun pada 19 November 2022.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd