Mengatasi Kekecewaan

October 27, 2022
Kesihatan

marzieana

Setiap manusia mesti pernah melalui kekecewaan. Malahan kanak-kanak juga mampu menunjukkan kekecewaan melalui gerak badan dan sebagainya. Secara psikologi, kekecewaan adalah tindak balas emosi yang biasa terhadap penentangan, berkaitan dengan kemarahan, kegusaran dan kekecewaan.

Kekecewaan timbul daripada rintangan yang dirasakan terhadap pemenuhan kehendak atau matlamat individu dan berkemungkinan meningkat apabila kehendak atau matlamat tidak tercapai atau disekat. Bagi seseorang yang pernah melalui saat-saat sukar semestinya faham dengan keperitan yang dirasai.

Kekecewaan ini mampu ditangani bergantung kepada individu itu sendiri sama ada untuk terus berada dalam ‘poket’ negatif atau cuba melangkah keluar dari ruang tersebut secara perlahan-lahan. Sebagai contoh, individu itu telah melalui fasa keruntuhan rumah tangga.

Ada individu yang mampu untuk move on hanya selepas beberapa hari sahaja, tetapi ada juga yang tidak mampu untuk move on selepas beberapa tahun perpisahan berlaku. Hal ini bergantung kepada punca keruntuhan rumah tangga itu sendiri. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, penulis hanya berada dalam ‘poket’ negatif selama tempoh dua minggu sebelum berpisah (bercerai).

Apa yang penting adalah sentiasa bersangka baik dengan ketentuan Yang Maha Kuasa dan sentiasa memandang hikmah disebalik kejadian yang berlaku adalah sebaik-baik perancangan-Nya. Untuk merasai kebaikan di sebalik kejadian yang mendatangkan rasa kecewa kita ialah memandang perkara baik atau positif yang berlaku selepas terjadinya fasa kecewa tersebut.

Sebagai contoh, selepas berpisah anda mendapat status ibu tunggal tetapi rezeki semakin bertambah. Rezeki yang dimaksudkan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit. Malahan keluarga yang memahami, rakan yang sentiasa ada disamping anda, bantuan-bantuan yang diterima serta diri yang terlepas daripada krisis rumahtangga juga adalah rezeki.

Yang pentingnya adalah bagaimana anda meletakkan pola pemikiran anda terhadap sesuatu kejadian dan terus berfikiran positif. Ini akan sedikit sebanyak membantu anda menghadapi serta menangani kekecewaan tersebut. Anda perlu cuba meletakkan perkara-perkara positif dalam kotak fikiran sebagai ilusi serta motivasi diri untuk terus menghadapi hari-hari yang mendatang.

Ingatlah Allah dalam setiap keadaan dan bukan hanya di dalam solat sahaja. Firman Allah “Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah diwaktu berdiri, diwaktu duduk dan diwaktu berbaring.” (Surah An-Nisa ayat 103). Insyaallah akan membantu memberi ketenangan kepada anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd