Kualiti Tidur Anda Terganggu? Elak Pengambilan 7 Makanan Ini Pada Waktu Malam
Lina Rosli
Setelah bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti pada waktu siang, maka malam adalah waktunya untuk anda mendapatkan rehat yang cukup dan berkualiti.
Namun, kadangkala menikmati tidur yang tenang dan tidak diganggu pada waktu malam bukanlah suatu perkara yang mudah. Dan salah satu faktor yang menyebabkan tidur anda terganggu ialah disebabkan oleh makanan.
Mengapa sedemikian? Menurut pakar pemakanan, terdapat segelintir kumpulan makanan didapati mempunyai potensi untuk menghalang individu daripada mendapatkan tidur yang lena. Oleh sebab itu, ramai pakar mengesyorkan untuk individu makan hidangan yang lebih berkhasiat dan mengenyangkan pada waktu sarapan dan mendapatkan hidangan yang lebih ringan ketika makan malam.

Ini kerana mengambil makanan yang lebih besar bermakna anda memerlukan masa yang lebih lama untuk dihadam. Dan jika anda tidur selepas makan berat, penghadaman anda akan menjadi perlahan dan makanan itu akan disimpan dan bukannya digunakan sebagai tenaga.
Hasilnya, makanan tersebut boleh menjadikan tubuh berasa sangat tidak selesa dan membuatkan anda terjaga. Lebih-lebih lagi sekiranya anda sedia mempunyai masalah pencernaan, seperti refluks asid.
Jenis Makanan Yang Perlu Anda Elakkan Sebelum Tidur Atau PAda Waktu Malam
Berikut adalah 7 jenis makanan yang perlu dihindari:
Makanan Pedas
Khusus buat penggemar makanan pedas, anda perlu berhati-hati apabila menikmati hidangan bercili atau berempah pada waktu malam. Hal ini kerana, rempah-ratus yang kuat sering menyebabkan pedih ulu hati dan senak yang mana jika anda mengalami kedua-duanya, ia boleh menjadi lebih teruk ketika anda berbaring.
Kopi
Bagi mereka yang gemar mendapatkan kafein pada waktu malam, anda dinasihatkan untuk mula mendapatkannya pada jam yang lebih awal.
Untuk pengetahuan anda, pengambilan kafein boleh dikaitkan dengan kegelisahan yang mana jika ia diambil kurang dari dua jam sebelum tidur, ia berkemungkinan besar boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur sekaligus menganggu kualiti tidur individu.

Coklat gelap
Kita sering lupa bahawa coklat gelap juga mengandungi kafein. Walaupun ia adalah pilihan yang lebih sihat antara susu dan coklat putih, cuba nikmati snek manis anda sekurang-kurangnya beberapa jam sebelum tidur. Sama seperti kopi, kafein dalam coklat gelap bertindak sebagai perangsang, menghalang peluang anda untuk tidur lena.
Tomato dan Sos Tomato
Bagi yang tidak mengetahui, tomato mengandungi asid amino yang dipanggil tyramine, yang mengaktifkan pembebasan norepinephrine. Bahan kimia ini meningkatkan aktiviti otak, seterusnya, melambatkan keupayaan anda untuk tidur.

Pizza
Di dalam satu hidangan pizza, ia cukup membuatkan kualiti tidur anda terjejas. Pizza hadir dengan bahan seperti lada merah, tomato, rempah dan lain-lain yang mana bagi setiap satu bahan ia hadir dengan tyramine, asid dan rasa pedas. Dan ini berkemungkinan besar akan menyebabkan anda mengalami senak yang menyukarkan untuk berehat
Soda
Ramai pasti sedia maklum bahawa soda sarat dengan gula dan kalori kosong. Apabila anda meminumnya sebelum tidur, penghadaman anda menjadi perlahan dan badan anda mungkin akan menyimpan kalori berbanding menggunakan tenaga tersebut. Soda juga mengandungi kafein.
Makanan Berlemak Dan Bergula
Elakkan snek dan makanan yang tinggi lemak dan berisi gula sebelum tidur kerana makanan ini sudah dinyatakan secara jelas akan perkaitannya dengan dengan tidur yang terganggu. Oleh itu, pertimbangkan makanan berprotein tinggi dan rendah lemak pada waktu petang untuk membantu tidur dengan lebih cepat.