Sekitar 19.7% Orang Dewasa Di Malaysia Mengalami Masalah Obesiti
Lina Rosli
Pengambilan makanan berlemak, berkalori tinggi dan bergula secara berlebihan akan menyumbang kepada penambahan berat badan dan semestinya sekiranya dilakukan secara konsisten, perubahan dalam berat badan ini akan berlaku secara drastik.
Di tambah lagi dengan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang tidur dan tidak melakukan aktiviti fizikal, ia menjadikan keadaan badan bertambah buruk sekaligus mencetuskan isu obesiti. Dalam satu laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, data menunjukkan kira-kira 30.4 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan 19.7 peratus adalah obes.
Bermula pada tahun 1996, peratusan obesiti hanya 4.4 peratus dan ia meningkat lebih tiga kali ganda dengan menjadi 14 peratus pada tahun 2006 dan terus meningkat kepada 17.7 peratus pada 2015. Pada tahun 2019 pula mencatatkan 19.7 peratus.

Oleh itu,Novo Nordisk Pharma bersama-sama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) kini sedang giat memacu perubahan terhadap obesiti. Selari dengan misi ini, mereka telah menggariskan beberapa siri aktiviti dalam menangani masalah obesiti menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangan pada Khamis lalu.
Menurut Novo Nordisk Pharma, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen mereka untuk melangkaui bidang perubatan selain turut mula bekerjasama merentas sektor. Melaluinya, ia dijangka akan memacu perubahan demi membasmi stigma serta menjadikan obesiti sebagai keutamaan dalam penjagaan kesihatan.

Bukan itu sahaja, menerusi kerjasama ini juga, Novo Nordisk dan UPM yang mana ia dapat meningkatkan kesedaran tentang obesiti sebagai penyakit kronik, membina pembangunan kapasiti profesionalisme pegawai kesihatan (HCP) semasa dan akan datang serta pendekatan pasukan daripada pelbagai disiplin dalam pengurusan holistik berkenaan obesiti.
Antara tiga. aktiviti utama yang bakal dijalankan oleh kedua-dua NOvo Nordisk dan UPM dalam tempoh 5 tahun termasuklah:
- Meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai obesiti menggunakan platform modul pengajaran atas-talian
- Bersiap sedia dengan teknik penjagaan kesihatan yang kondusif dalam pengurusan obesiti
- Mencipta aktiviti pendidikan perubatan dan platform pengajaran mengenai modul obesiti di Malaysia dalam portal universiti seperti kelas kepakaran obesiti kepada para pelajar dan HCP.