Benarkah Terdapat Perkaitan Langsung Antara Kunyit Dan Kerosakan Kesihatan Hati?
Lina Rosli
Tidak dinafikan, herba dan rempah merupakan bahan penambah rasa yang cukup sinonim dalam kebanyakan masakan lebih-lebih lagi untuk hidangan tempatan. Rasa yang dimaksudkan di sini adalah rasa seperti berangin atau pedas, sedikit berkayu ataupun sedikit berbunga.
Ya benar, rempah adalah kumpulan bahan yang mempunyai sifat harum atau aromatik. Tidak hanya digunakan untuk menyedapkan makanan tetapi ia juga turut hadir dalam sebahagian daripada ubat-ubatan semulajadi dan juga produk penjagaan diri yang lain.
Salah satu rempah yang cukup popular dalam kalangan individu adalah kunyit. Bagi yang tidak mengetahui, kunyit ialah rempah lazat yang digunakan dalam pelbagai jenis kari, gorengan dan juga nasi.

Kunyit telah digunakan selama beribu-ribu tahun di lokasi atau wilayah seperti India, Afrika Barat dan Jamaica, dan ia juga merupakan asas dalam banyak amalan perubatan Cina untuk membantu dengan keradangan, kesihatan darah dan banyak lagi.
Menurut FDA, mereka kini telah mengiktiraf suplemen kunyit sebagai produk yang “secara umumnya selamat”. Walau bagaimanapun, terdapat laporan baru-baru ini mendakwa bahawa rempah ini mungkin mempunyai kesan yang berpotensi merosakkan kesihatan hati.

Dalam artikel yang dikongsikan Eat This, mereka mengambil laporan yang diterbitkan oleh American Journal of Medicine pada Oktober 2022, penyelidik menilai korelasi antara pengambilan kunyit dan potensi kerosakan hati. Dalam kajian tersebut, ia dilihat terdapat 16 kes yang berlaku melibatkan kecederaan hati dan ianya berkaitan dengan penggunaan kunyit dalam masakan.
Menurut analisis yang dilaksanakan, punca berlakunya kerosakan hati dalam kalangan individu adalah disebabkan pesakit ini turut mengambil kunyit bersama-sama dengan lada hitam, bahan yang dicadangkan oleh ramai pakar untuk diambil bersama kunyit kerana ia membantu badan mencernanya dengan lebih berkesan.
Namun, kesan yang berlaku ke atas individu ini masih perlu dilakukan kajian lanjut. Kerana besar kemungkinan juga terdapat faktor luaran lain yang boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang sedemikian.

Walaupun penemuan kajian ini mungkin kelihatan kecil, kecenderungan kunyit yang mungkin membawa kepada kerosakan hati bukanlah sesuatu yang boleh diketepikan. Ini bukan kajian pertama yang menghubungkan kerosakan hati kepada penggunaan kunyit. Oleh itu potensi bahaya patut diambil kira.
Terdapat dua kes berasingan orang dewasa yang mengalami kecederaan hati akibat dadah daripada kunyit, dilaporkan dalam Jurnal Laporan Kes Perubatan Antarabangsa pada tahun 2021. Juga di Tuscany, beberapa lagi kes kecederaan hati akibat pengambilan kunyit juga turut dilaporkan.
Laporan ini tidak semestinya perlu mencetuskan sebarang kebimbangan dalam kalangan individu kerana kerosakan hati secara langsung akibat penggunaan kunyit adalah masih jarang berlaku. Akan tetapi, sekiranya terdapat individu yang mungkin mengamalkan suplemen tertentu yang berasaskan kunyit dan ingin mendapatkan rundingan doktor atau pakar, ia adalah perkara yang amat disarankan supaya individu boleh mengetahui akan tahan kesihatan diri sendiri.