Tahukah Anda Kucing Maine Coon Merupakan Baka Kucing Domestik Yang Terbesar Di Dunia?

December 15, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Kucing Maine Coon merupakan antara kucing yang popular dalam kalangan penggemar kucing. Berbeza dengan kucing rumah biasa, Maine Coon dikenali sebagai “gergasi lembut” yang sebelum ini pernah tersenarai beberapa kali sebagai kucing domestik terbesar di dunia.

Menurut laporan tertentu, penyelidik mendapati bahawa kucing Maine Coon datang dari keturunan Kucing Hutan Norway yang sangat besar. Ini kerana Maine Coon mempunyai rupa fizikal yang kelihatan serupa.

Asal usul nama Maine Coon pula dijelaskan yang mana kucing ini kelihatan seperti terhasil daripada percampuran atau gabungan antara kucing dan rakun. Dan pada ketika awal penemuannya, Maine Coon dahulunya dibawa ke Amerika sebagai baka khas yang dibesarkan oleh Marie Antoinette.

Benarkah Maine Coon Merupakan Kucing Terbesar Dunia?

Sebelum ini, seekor kucing pernah direkodkan di dalam World Guinness Records sebagai kucing domestik yang terbesar. Kucing tersebut bernama Stewie, seekor kucing Maine Coon kelabu yang berukuran 48.5 inci panjang. Dan pada tahun 2013, Stewie dilaporkan meninggal dunia akibat kanser pada 2013, dan sejak itu, gelaran kucing Maine Coon terbesar telah dianugerahkan kepada Barivel yang mempunyai ukuran mencecah 47.2 inci panjang.

Bukan itu sahaja, nama ‘Maine Coon’ juga telah muncul dalam World Guinness Records Books beberapa kali. Sebagai contoh, Maine Coon berwarna oren yang dikenali sebagai Omar turut berada di dalam proses penilaian sebagai kucing terbesar yang mana pemiliknya mendakwa Omar mempunyai ukuran kaki mencecah 11 inci.

Faktor saiz Omar yang besar ini berkemungkinan besar mempunyai perkaitan dengan dietnya yang agak tidak konvensional yang mana dia memakan daging kanggaru yang disediakan khas oleh pemiliknya.

Ketahui Personaliti Dan Fizikal Maine Coon

Secara umumnya, Maine Coon adalah kucing luar yang sangat atletik. Oleh itu, kucing ini memerlukan ruang bermain yang luas bagi memberikan mereka peluang untuk meneroka aktiviti baharu. Kadangkala jika Maine Coon kerap berada di dalam rumah, ia dilihat akan menyebabkan mereka berasa tidak berpuas hati dan tidak gembira.

Jadinya, ruang rumah yang besar perlu dipertimbangkan sebelum mengambil Maine Coon sebagai kucing peliharaan dan jika pemilik bimbang tentang kucing mereka berkeliaran atau dicuri, anda boleh memagar ruang bermain kucing dan sentiasa mengemaskini barang permainan mereka.

Dari segi rupa fizikal Maine Coon pula, ia merupakan sejenis kucing berotot yang kuat selari dengan dengan saiznya yang mengagumkan. Mereka mempunyai telinga yang besar dan runcing selain turut bijak dalam mengekspresi diri.

Di bahagian dada mereka, Maine Coon kelihatan seperti memakai kot panjang dan tebal. Oleh itu, adalah disarankan untuk memastikan ruang bermain dan rehat mereka tidak terlalu panas bagi memberikan keselesaan kepada mereka.

Sumber: Purina

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd