Mengapa Badan Perlu Berpeluh? Apa Yang Ada Dalam Cecair Peluh?

December 19, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Secara umumnya, setiap individu akan berpeluh. Namun, ia bergantung pada pelbagai faktor seperti cuaca panas, gementar, demam ataupun selepas bersenam.

Dan apabila berpeluh, ia boleh menyebabkan individu berasa dehidrasi, namun dalam pada masa yang sama boleh memberi kesegaran kepada tubuh sekiranya sedang melakukan aktiviti lasak.

Untuk pengetahuan anda, peluh dihasilkan oleh kelenjar di bahagian lapisan kulit paling dalam iaitu dermis. Kelenjar ini juga boleh didapati di pelbagai tempat di seluruh badan termasuk dahi, ketiak, tapak tangan dan tapak kaki.

Mengapa Kita Berpeluh?

Peluh (atau berpeluh) adalah cara utama badan kita mengawal suhunya. Air dibebaskan melalui kelenjar dalam kulit, menyejat dari kulit dan badan disejukkan. Semasa senaman, otot akan menjadi lebih panas, dan ia kemudiannya akan memberi kesan kepada pembebasan peluh yang lebih banyak.

Menyejukkan adalah fungsi utama berpeluh. Tanpanya, badan kita tidak dapat mengeluarkan haba yang berlebihan dan apabila suhu badan menjadi terlalu tinggi, individu berisiko untuk mati.

Apa Yang Ada Dalam Peluh?

Seperti yang kita biasa lihat, peluh adalah cecair yang kelihatan sama seakan air jernih. Namun, di dalamnya hadir sebilangan kecil natrium, kalium, kalsium dan magnesium serta elektrolit yang membantu mencetuskan pelbagai tindak balas elektrik dalam badan termasuk melenturkan otot.

Inilah sebab mengapa minum minuman yang mengandungi elektrolit sama ada semasa dan selepas aktiviti berimpak tinggi atau tempoh senaman yang panjang dapat memberikan faedah pada tubuh.

Bukan itu sahaja, peluh juga turut mempunyai sebilangan kecil feromon, yang membuatkan peluh individu mempunyai bau yang unik dan lain daripada individu yang lain.

Selain daripada kehadiran perkara yang baik, peluh juga mengandungi bakteria. Ia tumbuh di dalam peluh yang mana membuatkan sesetengah peluh berbau busuk. Dan bagi mengatasi masalah bau peluh ini adalah dengan menggunakan deodoran dan produk anti-perspiran yang banyak ditawarkan di pasaran.

Sebilangan kecil toksin turut terhasil bersama-sama dengan peluh. Dan pakar mendapati bahawa dengan kehadiran peluh pada tubuh badan, ia dikatakan menyingkirkan mengeluarkan toksin yang ketara dari badan seperti logam berat dan plastik BPA bagi menyokong fungsi organ yang sihat.

Adakah Peluh Suatu Perkara Yang Baik?

Dari perspektif fisiologi, berpeluh adalah perkara yang baik.

Badan kita akan menjadi terlalu panas jika kita tidak berpeluh. Tetapi beberapa aktiviti yang menyebabkan berpeluh turut boleh menyebabkan beberapa masalah lain, seperti keletihan haba, kebimbangan dan penyakit.

Namun ini tidak menentukan sama ada peluh itu buruk atau baik. Ia semuanya bergantung kepada aktiviti di belakangnya, yang menentukan sama ada berpeluh itu sihat atau tidak. Sebagai contoh, berpeluh semasa bersenam biasanya menunjukkan anda mencapai tahap senaman ideal dan ia menggalakkan kesihatan kardiovaskular.

Sumber: MSU Extension Food & Health

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd