HABIB Jewels Bina Masjid Di Pulau Pinang – Menampilkan Reka Bentuk Inspirasi Jawi Peranakan
Lina Rosli
Baru-baru ini, HABIB mengumumkan yang mana mereka bakal mendirikan masjid yang tersendiri di Pulau Pinang yang dijangka siap menjelang tahun 2024.
Memilih lokasi Bandar Tanjong Pinang sebagai tapak binaan, masjid ini dilihat hadir dengan kapasiti keluasan sebesar 8,615 meter persegi.

Tambah HABIB Jewels, rancangan untuk membina masjid ini telah mula dilakukan sejak 2020 dan mereka sebulat suara memilih arkitek tempatan iaitu Zon Design Rekabina Sdn Bhd sebagai rakan kerjasama.
Di dalam pelan yang telah dirancang, konsep yang ingin diketengahkan pada masjid ini adala berunsurkan seni Jawi Peranakan. Menurut, Dato’ Sri Meer yang merupakan pengarah urusan syarikat HABIB Jewels menceritakan hasrat keluarganya untuk menubuhkan sebuah masjid di tempat asal keluarga mereka, untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Sementara pemilihan rekaan dan hiasan pula dilakukan atas sebab keunikan komuniti kacukan yang ada di Pulau Pinang iaitu Jawi Peranakan. Reka bentuk kubah pula diambil dari potongan intan yang unik sebagai penghormatan kepada budaya pemakaian barang kemas masyarakat Jawi Peranakan.

Masjid ini mampu menampung lebih daripada 1,500 jemaah pada satu masa, turut dilengkapi kemudahan lain untuk kegunaan awam seperti bilik kuliah, bilik mesyuarat serta dewan serbaguna untuk majlis perkahwinan dan acara tertentu untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Pada bahagian luar pula, masjid ini hadir dengan Taman Hijau yang menghiasi masjid. Menambah seri kepada warna alam adalah menara masjid yang berkonsepkan tanglung yang akan memberikan pemandangan yang tenang dan moden kepada para pengunjung.