Kes Kematian Akibat Denggi Meningkat 180% Pada Tahun 2022 – Ketahui 5 Mitos Mengenai Denggi
Lina Rosli
Tahukah anda bahawa, kes kumulatif jangkitan denggi pada tahun 2022 telah meningkat lebih 150% berbanding tahun sebelumnya dan jumlah kematian akibat denggi pula meningkat sehingga 180%?
Berdasarkan statistik ini, ia menunjukkan yang mana masih ramai lagi individu yang masih belum cakna akan kepentingan perlindungan diri daripada denggi lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan pembiakan nyamuk aedes.
Tidak seperti kes jangkitan yang lain, kes denggi ini tidak mempunyai penawar yang spesifik. Oleh yang demikian, individu seharusnya perlu sentiasa prihatin akan kemudaratan demam denggi sekaligus memainkan peranan yang penting dalam memastikan tempat tinggal selamat dan selesa untuk didiami.

Bukan itu sahaja, ada juga dalam kalangan individu yang masih terpedaya dan tersalah anggap dengan maklumat separuh benar sehinggakan boleh membawa kepada kemudaratan berbanding kebaikan kerana ia mewujudkan perasaan selamat yang palsu. Ini menjadikan orang ramai terdedah kepada ancaman demam denggi yang sebenar.
Menurut Profesor Madya Dr Verna Lee Kar Mun yang merupakan Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), ada lima (5) mitos atau salah tanggapan yang biasa didengari mengenai demam denggi yang perlu dijelaskan dan ditangani.
Mitos #1 – Kita boleh dijangkiti demam denggi sekali sahaja seumur hidup
Perkara ini adalah tidak benar sama sekali. Demam denggi ada empat serotaip dan ini bermakna seseorang itu boleh dijangkiti sehingga empat kali iaitu sekali untuk setiap serotaip. Imuniti kekal hanya diperolehi jika seseorang itu sudah dijangkiti setiap satu daripada empat serotaip tersebut.
Namun begitu, risiko jangkitan ini adalah tinggi dan lebih elok jika ia dihindari. Hal ini kerana, berkemungkinan besar jangkitan-jangkitan ini boleh membawa kepada keadaan kesihatan yang lebih teruk.
Setiap jangkitan itu juga turut meningkatkan peluang anda untuk mendapat demam denggi yang teruk. Demam denggi yang teruk adalah penyakit yang serius yang memerlukan kemasukan ke hospital dan boleh membawa kepada akibat yang dahsyat seperti kegagalan organ. Oleh itu, jangkitan berulang bukanlah idea yang baik untuk mendapatkan imuniti.
Mitos #2 – Selagi saya tidak rasa sakit, ianya tidak berbahaya
Terdapat tiga tahap demam denggi. Ia bermula dengan fasa demam kuat secara tiba-tiba selama 1 hingga 2 hari. Ketika itu, pesakit berkemungkinan mengalami sakit-sakit badan, sakit kepala dengan sakit di belakang mata, muka menjadi merah dan kulit bertompok-tompok atau ruam.
Kemudian masuk pula fasa kritikal. Ironinya, ia datang selepas demam mereda dan ramai yang merasakan mereka semakin sihat. Namun, tempoh sehari dua itu boleh menyebabkan pesakit mengalami kejutan jika kapilari darah membocorkan plasma dan ini membawa kepada penurunan tekanan darah secara mendadak.
Fasa kritikal inilah yang akan menentukan sama ada pesakit itu menjadi lebih sihat iaitu memasuki fasa pemulihan yang mana pesakit sudah mampu menyerap semula cecair dan nadi menjadi stabil, atau menjadi lebih teruk dan menderita demam denggi yang teruk.
Untuk pengetahuan anda juga, banyak penyakit virus seperti demam denggi boleh reda dan sembuh sendiri (self-limiting). Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya perlu merawat diri sendiri di rumah. Paling penting minum banyak air untuk mengelakkan dehidrasi yang datang bersama kebocoran plasma. Sesiapa pun yang dijangkiti demam denggi perlu minum sekurang-kurangnya tiga liter air sehari pada tiga hari pertama.

Mitos #3 – Demam denggi cuma penyakit biasa yang ringan
Walaupun kebanyakan pesakit denggi boleh sembuh di rumah, ia tidak bermakna kita tidak perlu berwaspada.
Dianggarkan 1% pesakit akan mengalami demam denggi teruk dikenali sebagai demam denggi berdarah yang memerlukan kemasukan ke hospital. Pendarahan boleh bermula di fasa demam, lazimnya dalam kulit dan gusi.
Jika tidak diuruskan dengan betul, keadaan pesakit akan bertambah buruk semasa fasa kritikal dan rata-ratanya akan mula memerlukan bantuan hospital untuk rawatan susulan.
Menurut Dr. Verna dari IMU juga, mereka yang mempunyai sistem imun yang baik selalunya akan sihat dalam tempoh dua hari, tetapi jika berlaku komplikasi akibat radang organ dalaman seperti jantung, hati dan otak, ia boleh memakan masa seminggu atau lebih untuk sihat semula.
Bagi orang yang memang mengalami tekanan darah rendah, gejala mungkin bermula lebih awal. Selain itu, sekiranya wanita yang sedang haid, mereka juga cenderung mengalami lebih banyak pendarahan sepanjang tempoh jangkitan.
Tanda-tanda lain demam denggi teruk termasuklah:
- sakit perut yang kuat
- kerap muntah-muntah
- najis atau muntah berdarah
Mitos #4 – Ujian demam denggi hanya boleh dibuat selepas 3 hari.
Secara umumnya, gejala awal lazimnya tidak ketara kerana demam adalah tanda banyak penyakit lain. Tetapi, pesakit denggi selalunya mengalami demam panas secara tiba-tiba. Jika dibandingkan dengan Covid-19, permulaan demam adalah sedikit lebih lambat.
Untuk pengetahuan anda juga, denggi juga mempunyai kit ujian antigen pantas. Ia digunakan untuk mengesan demam denggi pada hari pertama. Oleh itu, usahlah berlengah-lengah untuk mendapatkan nasihat perubatan jika anda tiba-tiba mengalami demam panas secara mendadak.
Ingatlah, fasa demam hanya sehari dua sahaja sebelum bertukar kepada fasa kritikal yang mana pesakit akan tiba-tiba menjadi lebih teruk.

Mitos #5 – Tidak perlu lakukan langkah pencegahan denggi sebab kawasan saya sudah dibuat penyemburan.
Usaha pencegahan seperti penyemburan hanya membantu membunuh nyamuk Aedes dewasa. Terdapat bukti lain yang menyatakan bahawa nyamuk Aedes kini sudah kebal kepada racun serangga biasa yang digunakan dalam penyemburan.
Oleh itu, anda masih perlu membersihkan air bertakung di longkang-longkang awam dan tempat lain yang juga boleh menjadi lokasi pembiakan nyamuk.
Setakat ini, pihak berkuasa sudah menjalankan kaedah-kaedah pengujian baharu seperti penggunaan nyamuk yang diubahsuai genetiknya di lokasi panas. Selain itu, mereka juga mungkin bakal hadir dengan vaksin yang berupaya melindungi diri daripada demam denggi.
Namun begitu, itu bukan bermakna kita harus leka. Secara peribadi, ia bukan sekadar tugas satu entiti sahaja. Adalah penting untuk semua individu mula bertindak dalam lingkungan rumah sendiri untuk mencegah pembiakan dan gigitan nyamuk.