Bunga Teratai Air Terbesar Di Dunia – Saiz Pad Bunga Menjangkau 3 Meter

March 2, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Tahukah anda Victoria boliviana merupakan spesis bunga teratai terbesar di dunia? Ia pertama kali ditemui di Taman Kew yang terletak di London yang mana bunga ini telahpun berada di herbarium sejak 177 tahun yang lalu.

Menurut ahli biologi dan pakar tumbuhan di Kew, pada asalnya mereka menyangka tumbuhan itu ialah Victoria amazonica, salah satu daripada dua jenis teratai air besar yang dikenali sempena nama Ratu Victoria pada tahun 1852.

Walau bagaimanapun, selepas dikaji, para penyelidik mendapati ia tergolong dalam spesies baharu selepas bekerjasama dengan pasukan lain di Bolivia.

Dan kini, rekod semasa untuk spesies teratai terbesar dipegang oleh La Rinconada Gardens di Bolivia di mana daunnya tumbuh hingga 3.2 meter.

Serba Ringkas Mengenai Victoria Boliviana

Berasal dari tanah lembap di Amerika Selatan, Victoria boliviana merupakan keajaiban alam semula jadi dengan daun terapung yang besar dan pokok bunga berduri yang menggerunkan yang mekar hanya untuk beberapa hari.

Keluarga teratai Victoria boliviana ini mempunyai sejarah taksonomi yang kompleks. Apabila pertama kali didokumentasikan oleh ahli botani Eropah pada tahun 1820-an, mereka diklasifikasikan sebagai Euryale amazonica oleh naturalis Jerman Eduard Friedrich Poeppig.

Pada tahun 1837, ahli botani British John Lindley mencadangkan nama genus Victoria, menyamakan keagungan tumbuhan itu dengan raja Britain ketika itu. Penggabungan kedua-duanya membawa kepada nama spesies Victoria amazonica yang sehingga baru-baru ini dianggap sebagai raja teratai air.

Dari segi saiz, bunga teratai gergasi ini mempunyai pad berbentuk cakera sebesar 3 meter iaitu sekitar 9 kaki 10 inci lebar. Apabila terbuka sepenuhnya, saiz kelopak bunganya boleh menjangkau sehingga 36 cm.

Sebagai perbandingan, bunga teratai lain iaitu Victoria amazonica dan Victoria cruziana, masing-masing dianggarkan tumbuh hingga 2.3 meter dan 2.4 meter sahaja.

Bunga teratai gergasi ini telah menjadi salah satu tarikan bintang di Royal Botanic Gardens di Kew sejak institusi itu membuka pintunya kepada orang ramai pada abad ke-19. Kini, ia mula ditempatkan di dalam kolam dalam Konservatori Puteri Wales Kew bersama spesies teratai air terkecil di dunia. Bunga teratai Nymphaea thermarum yang hanya mempunyai pad yang menjangkau sekurang-kurangnya 1 cm sahaja.

Sumber: Kew Org

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd