Mengapa Warna Mata Individu Berbeza?
Lina Rosli
Tahukah anda faktor yang menyebabkan warna mata individu menjadi berbeza? Jika anda perasan, terdapat individu yang mungkin mempunyai warna mata yang lebih terang, manakala individu yang duduk di sekitar negara sejuk pula hadir dengan warna mata yang lebih cerah. Mengapa ia sedemikian?
Jawapannya adalah bergantung kepada kehadiran pigmen di dalam setiap sel. Sama seperti rambut dan juga kulit, pigmen berfungsi menghasilkan warna yang diperlukan oleh setiap anggota. Sebagai contoh, untuk mata, pigmen ini muncul di kawasan iris yang dikenali sebagai melanocytes.

Untuk pengetahuan anda juga, melanocytes mempunyai dua kategori pigmen iaitu eumelanin yang biasanya menghasilkan warna coklat kehitaman dan juga pheomelanin yang menampilkan warna merah.
Dan apabila individu mempunyai pigmen eumelanin yang tinggi, maka anda akan melihat warna mata yang diperoleh akan kelihatan lebih gelap berbanding individu yang lain.
Sebaliknya, untuk individu yang mempunyai warna mata biru muda, mereka cenderung mempunyai pigmen yang paling sedikit. Ini sekaligus menghasilkan warna mata yang lebih cerah dan ia lazimnya berlaku pada individu berketurunan Eropah.
Harus diingatkan, melanocytes tidak mengeluarkan pigmen berwarna biru. Namun begitu, mata seseorang boleh kelihatan berwarna biru disebabkan oleh gentian kolagen putih dalam tisu penghubung dalam iris. Gentian ini menyerakkan cahaya dan menjadikan iris kelihatan biru.

Dan jika anda perasan warna mata yang mungkin lebih cerah iaitu antara warna coklat gelap dan biru muda mempunyai jumlah pigmen dan kawasan yang berbeza-beza tanpa kehadiran sebarang pigmen. Oleh itu, ia akan menghasilkan warna unik yang kita lihat dalam bentuk hijau, hazel, dan kelabu.
Selain daripada warna mata, tahukah anda bahawa retina mata setiap individu juga unik bagi setiap individu. Apabila kita sebut tentang unik, cap jari manusia mempunyai kira-kira 40 ciri unik yang dikaitkan dengan setiap individu, tetapi mata manusia mempunyai 256 ciri unik.
Ciri unik bagi retina mata setiap individu ini adalah disebabkan oleh kehadiran saluran darah yang kompleks dalam retina menjadikan setiap mata mempunyai corak yang unik. Malahan, retina bagi kembar seiras juga akan menjadi berbeza.
Sumber: MNT , Island Retina