IKEA Mula Menawarkan Bebola Daging Versi Tumbuh-Tumbuhan – Harga Bermula RM5.90

May 9, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

IKEA Malaysia kini memperkenalkan menu terbaharunya iaitu bebola tumbuhan IKEA yang mana ianya telahpun tersedia di semua gedung IKEA di seluruh Malaysia.

Menurut IKEA, bebola tumbuhan ini diperbuat daripada protein kacang pea kuning, oat, kentang, bawang dan epal. Ini sekaligus bukan sahaja menjadi lebih lestari dengan impak yang lebih rendah terhadap alam sekitar tetapi turut menawarkan jejak iklim hanya 4% jika dibandingkan dengan jejak iklim bebola daging.

Selari dengan cita-cita IKEA untuk menjadi positif iklim menjelang tahun 2030, penawaran menu baharu ini dijangka sedikit sebanyak akan menjadi langkah kecil para individu untuk berubah ke arah gaya hidup lestari.

Selain itu, IKEA turut menyasarkan untuk menjadikan 50% daripada makanan utama restoran mereka berasaskan tumbuhan menjelang tahun 2025. Untuk pengetahuan anda juga, pada tahun 2022, IKEA telah berjaya menjual lebih daripada 27 juta bebola daging di Malaysia.

Oleh itu, dengan mengembangkan lagi tawaran makanan berasaskan tumbuhan IKEA, pelanggan kini boleh menikmati bebola tumbuhan dengan kentang lecek, brokoli dan jem lingonberi di Restoran ala Sweden di semua gedung IKEA di Malaysia. Anda juga boleh menikmati pelbagai hidangan bebola tumbuhan, bermula daripada harga serendah RM5.90.

Harga jualan bebola tumbuhan IKEA yang lain:

  • 8 biji Bebola Tumbuhan dengan Kentang Lecek & Brokoli RM9.90 
  • 12 biji Bebola Tumbuhan dengan Kentang Lecek & Brokoli RM12.90 
  • Pasta Bebola Tumbuhan 5 biji RM7.90
  • Wrap Bebola Tumbuhan RM6.50

Cubalah sendiri bebola tumbuhan IKEA di Restoran ala Sweden IKEA yang terdekat hari ini juga. Untuk tawaran makanan IKEA yang lain, layari https://www.ikea.com/my/ms/stores/restaurant/

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd