Ketahui Keadaan Kucing Anda – Haiwan Juga Boleh Mengalami Strok Haba

May 12, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Sudah hampir sebulan kita merasai kehangatan cuaca tidak kira di timur atau barat Malaysia, selatan mahupun utara, kesemua kawasan ini boleh dikatakan mengalami suhu yang agak tinggi yang mencecah sehingga 32 hingga 35 darjah Celsius. Dan suhu ini dijangkakan akan mengalami peningkatan sehingga mencecah 37 darjah Celcius di beberapa kawasan tertentu di sekitar Malaysia.

Kesan daripada peningakatan suhu ini, setiap individu telahpun mempersiapkan diri dengan beberapa perkara penting ketika menghadapi cuaca panas ini. Hal ini kerana, apabila tubuh badan terdedah kepada cuaca panas secara konsisten, ia akan mendatangkan risiko atau masalah kesihatan seperti strok haba sehingga boleh membawa kepada maut.

Namun, tahukah anda haiwan perliharaan anda termasuk kucing juga perlu dilindungi dari strok haba? Ini boleh diketahui sama ada kucing anda mengalami strok haba atau tidak apabila mereka menunjukkan gejala awal seperti tanda-tanda keletihan yang luar norma akibat daripada kehangatan cuaca.

Apakah Tanda-Tanda Yang Menunjukkan Kucing Anda Mengalami Strok Haba?

Berikut adalah beberapa gejala yang perlu diperhatikan pada haiwan perliharaan anda:

  • Kucing anda menunjukkan dengan jelas akan keletihan dan kelesuan
  • Kucing anda juga kelihatan gelisah. Sebagai contoh, keadaan jalan yang tidak stabil dan terhuyung hayang
  • Degupan jantung meningkat
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Gusi berwarna merah gelap
  • Tapak kaki kucing berpeluh
  • Suhu dalaman kucing anda meningkat. Suhu dalaman kucing yang normal adalah sekitar 37.7 hingga 38.6 Celsius

Bagaimana Cara Untuk Mengurangkan Rasa Hangat Pada Kucing Sewaktu Musim Panas?

Adalah sukar untuk mengekalkan suasana yang dingin untuk kucing anda di kala musim panas ini. Tetapi dibawah adalah cara untuk mengurangkan rasa hangat untuk kucing rumah anda agar mereka selamat di bawah sinar matahari.

Sediakan tempat berteduh yang selesa

Walaupun banyak kucing suka berbaring di bawah sinar matahari selama berjam-jam, tetap penting bagi mereka untuk mempunyai kawasan yang boleh menyejukkan diri apabila mereka menjadi terlalu panas. Pastikan mereka sentiasa boleh kembali ke ruang tersebut dengan mudah pada bila-bila waktu.

Berikan air yang secukupnya

Kucing anda sepatutnya mempunyai akses tanpa had kepada air minuman yang segar dan bersih pada setiap masa. Tinggalkan beberapa mangkuk air yang berbeza untuk mereka. Jika kucing anda lebih suka tinggal di luar, letakkan mangkuk di kawasan teduh di ruang rumah anda.

Kemaskan dan rapikan bulu kucing

Walaupun kebanyakan kucing menggugurkan bulunya pada musim panas, memotong bulu untuk kucing yang berbulu panjang boleh membantu memastikan mereka lebih sejuk.

Dapatkan nasihat doktor haiwan sebelum anda memotong bulu mereka. Ini kerana pakar akan memberi anda cara paling selamat untuk melakukan ini tanpa menyebabkan kucing anda berasa tertekan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd