Ikano Centres Bakal Tambah Stesen Minyak Yang Dilengkapi Farmasi Dan Starbucks Pandu Lalu Di Klippa Pulau Pinang
Lina Rosli
Ikano Centres mengumumkan pembukaan dua penambahan penting yang sangat dinanti-nantikan di Klippa, yang terletak di kawasan perbandaran Batu Kawan yang semakin berkembang di Pulau Pinang.
Menyertai penawaran perniagaan pusat beli-belah ini ialah sebuah stesen minyak yang akan dikendalikan oleh Caltex dan kedai Decathlon yang akan mengembangkan lagi kepelbagaian penawaran yang sangat penting kepada keperluan masyarakat di sini.
Menurut Ikano Centres, menyedari akan keperluan penduduk dan komuniti berhampiran dan mengenal pasti keperluan mendesak terhadap sebuah stesen minyak berdekatan, pembukaan stesen minyak ini dijangka akan menawarkan kemudahan kepada komuniti.
Stesen Caltex di Klippa ini bakal menampilkan pelbagai komponen runcit, termasuk dua kedai serbaneka, sebuah farmasi dan juga sebuah pandu lalu Starbucks, kesemuanya dijadualkan dibuka pada suku pertama tahun 2024. Tambah Caltex, lokasi ini akan menjadi stesen mereka yang ketiga di Batu Kawan.

Selain stesen minyak, Ikano Centres turut menampilkan kedai Decathlon di Klippa, yang dijadualkan pembukaannya pada separuh kedua tahun 2024.
Dengan ruang lantai sebanyak 21,200 kaki persegi, Decathlon akan menawarkan pelbagai barangan dan kelengkapan sukan untuk memenuhi keperluan penggemar sukan dan masyarakat sekitar Pulau Pinang. Pembukaan ini akan menjadi Decathlon yang ketiga dalam portfolio Ikano Centres selepas kejayaan pembukaannya di Pusat Beli-belah MyTOWN dan Pusat Beli-belah Toppen.
Di samping itu, Klippa baru-baru ini telah meraikan kehadiran beberapa jenama baharu, yang telah meningkatkan Luas Lantai Kasar (Gross Leasable Area, GLA) kepada 675,000 kaki persegi.
Antara jenama tersebut termasuklah TMG Plus oleh Kumpulan Tunas Manja, peruncit barangan runcit yang menawarkan perkhidmatan tambahan seperti pembeli-belah peribadi, penghantaran ke rumah dan perkhidmatan pandu lalu.

Jenama lain yang telah dibuka di Klippa juga termasuklah Mr DIY Plus dan dua jenama anak syarikat mereka, Mr. Dollar dan Mr. Toys, Guardian, Dr Specs, dan pelbagai tempat makan yang menarik seperti Kejap Foods, CMR Express Restaurant, Zus Coffee, Chicago Chicken City, XiXiang Kaya Kopitiam dan lain-lain.
Selain itu, jenama makanan dan minuman terkenal seperti Kenny Rogers, Coffee Bean & Tea Leaf, dan A&W telah diperkenalkan kepada konsep pandu lalu F&B Klippa yang unik, sekali gus menawarkan pengalaman kulinari yang pelbagai mengikut keselesaan pelanggan. Dengan tambahan baharu Caltex, komponen pandu lalu Klippa kini telah disewakan 100%.

Ikano Centres kekal komited terhadap visinya untuk menggalakkan perkembangan komuniti dan menambah baik landskap runcit di kesemua destinasinya. Usahanya yang berterusan untuk memperkenalkan penawaran yang baharu dan pelbagai akan terus mencetuskan impak yang positif kepada kehidupan para pembeli-belah dan mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti.