Baju Terkena Dakwat Pen? Ketahui Cara Untuk Menghilangkan Kesan Dakwat Pada Baju

June 19, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Sama ada pelakunya ialah pen mata bola, pen marker, pen dakwat basah atau pen berwarna, kesemua pen ini pasti akan meninggalkan kesan dakwat yang sukar untuk dicuci sekiranya terkena pada pakaian.

Seperti kebanyakan kesan kotoran lain juga, untuk memastikan kesan yang terkena pada baju anda tidak kekal lama, sudah tentu anda perlu membersihkan dan mengambil langkah yang lebih awal.

Oleh itu, Tajria akan berkongsi kepada anda beberapa langkah dan tips untuk menghilangkan kesan dakwat pen pada baju, tudung atau seluar.

Cara Menghilangkan Kesan Dakwat Pada Baju

Sebelum anda bermula, pertama, tentukan jenis dakwat yang menyebabkan kotoran pada baju anda. Kotoran dakwat berasaskan air, seperti daripada penanda boleh basuh (washable marker), adalah antara yang paling mudah untuk ditanggalkan. Sama juga seperti pen mata bola, ia bertindak balas dengan baik untuk kebanyakan cara dan kaedah pembersihan.

Namun, untuk dakwat kekal seperti highlighter dan penanda dakwat kekal (permanent marker) pula adalah jenis dakwat yang sukar untuk dibersihkan. Harus diingatkan juga, untuk dakwat yang baru terkena baju, adalah lebih mudah untuk ditanggalkan jika dibandingkan dengan dakwat yang telah kering.

Tips Membersihkan Dan Menanggalkan Dakwat Berasaskan Air

  1. Elakkan pemindahan dakwat. Letakkan beberapa lapisan tuala kertas di bawah kesan kotoran dakwat pen untuk mengelakkannya daripada dipindahkan ke bahagian lain pakaian.
  2. Lapkan kesan dakwat dengan tuala kertas. Elakkan daripada menggosok baju terlalu kuat. Menggosok boleh menjadikan kotoran menjadi lebih besar atau menolaknya lebih dalam ke dalam gentian fabrik.
  3. Apabila kotoran mulai pudar, gunakan sabun pencuci pakaian pada kawasan yang kotor untuk membersihkan bahagian lain. Rendam pakaian dengan sabun tersebut sekurang-kurangnya 10 minit sebelum mencuci pakaian.
  4. Akhir sekali, basuh pakaian seperti biasa.

Tips Membersihkan Dan Menanggalkan Dakwat Kekal Pada Pakaian

  1. Sama seperti dakwat berasaskan air, anda juga perlu meletakkan beberapa lapisan tuala kertas di bawah kesan kotoran dakwat pen untuk mengelakkannya daripada dipindahkan ke bahagian lain pakaian.
  2. Kemudian, lap dan sapu secara perlahan kesan dakwat dengan tuala kertas.
  3. Gunakan alkohol isopropil. Caranya, anda boleh mencelupkan kapas ke dalam alkohol isopropil dan gosokkannya secara perlahan. Mulakan di tepi luar kotoran dan gerakkan ke arah tengah dengan menyapu kotoran tersebut dengan kapas yang direndam alkohol.
  4. Tukar kapas dengan yang baharu semasa dakwat dipindahkan.
  5. Seterusnya, gunakan tuala kertas kering untuk membantu menyerap dakwat terlarut. Jika kotoran yang terkena pada baju adalah bersaiz besar, anda boleh menggunakan penitis mata untuk menyapu alkohol ke kawasan yang terjejas. Pastikan ada tuala di bawah kotoran untuk menyerap cecair tambahan.
  6. Bilas fabrik. Apabila kebanyakan kotoran mulai hilang, bilas kawasan itu dengan air sejuk.
  7. Anda juga boleh meletakkan sapuan sabun pencuci pakaian pada kawasan yang kotor. Biarkan sabun tersebut sekurang-kurangnya 10 minit sebelum mencuci pakaian.
  8. Akhir sekali, basuh pakaian seperti biasa.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd