Spritzer Hadir Dengan Botol Minuman Bebas Label – Namun Jualan Masih Lagi Terhad

June 23, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Masih mengekalkan bentuk dan kualiti air yang sama yang berasal dari sumber air terpelihara di Taiping, Perak, kini Spritzer hadir dengan inisiatif kemampaman baharu menerusi pengenalan botol minuman tanpa label.

Dengan kehadiran penawaran terbaharu botol tanpa label dari Spritzer, ia menjadikan botol tersebut boleh dikitar semula 100%.

Menurut Spritzer lagi, sebelum ini, botol-botol tersebut juga turut dihasilkan daripada plastik kitar semula yang boleh dikitar semula. Dan dengan langkah ini, ia mengukuhkan lagi komitmen Spritzer untuk menjadi jenama mampan sepenuhnya menjelang 2030.

Tambah Spritzer lagi, mereka kini menggalakkan semua individu untuk lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Dengan mengambil langkah kecil ke arah kemampanan seperti memilih produk mesra alam, ia akan memberi impak besar kepada kesihatan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Bagi yang berminat untuk mendapatkannya, Air Mineral Asli Spritzer yang menggunakan botol tanpa label ini hadir dengan dua pilihan kuantiti iaitu 1.25 liter dan 550 mililiter.

Setakat ini, jualan botol tanpa label ini masih lagi ditawarkan secara terhad dan untuk pengedaran awal, anda boleh mendapatkannya melalui pembelian di kedai atas talian Spritzer, Shopee, Lazada dan juga di kedai fizikal Spritzer EcoPark.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd