Royal Caribbean International Icon of the Seas Bakal Menjadi Kapal Persiaran Terbesar Di Dunia – Akan Mula Berlayar Pada Januari 2024
Lina Rosli
Royal Caribbean International Icon of the Seas akan dilancarkan sebagai kapal persiaran terbesar di dunia pada awal 2024.
Kapal persiaran ini hadir dengan saiz yang berukuran 365 meter panjang dan berat kira-kira 250,800 tan. Menurut sumber, saiz kapal ini adalah kira-kira lima kali ganda lebih besar berbanding Titanic.

Berdasarkan perkongsian juga, Royal Caribbean International Icon of the Seas boleh memuatkan sehingga 7,600 penumpang bersama dengan 2,350 anak kapal yang menampilkan kapasiti keseluruhan mencecah 10,000 orang sekaligus.

Apa yang menarik tentang kapal persiaran ini, ia turut menampilkan taman tema air terbesar di dunia yang berlayar di atas laut. Taman tema ini dilengkapi dengan 6 gelongsor besar, 7 kolam renang dan 9 pusaran air. Selain itu, ia turut hadir dengan tempat persembahan yang dikenali sebagai AquaDome.
The Icon of the Seas mempunyai lapan kawasan kejiranan yang berbeza, yang secara kolektif menempatkan lebih daripada 40 tempat makan, bar dan hiburan malam, serta 20 geladak keseluruhan.
Menurut Royal Caribbean, pelayaran itu telah selesai melakukan ujian laut pertamanya pada bulan Julai 2023 di Turku, Finland, yang mana ia melibatkan lebih daripada 450 pakar menjalankan ujian ke atas mekanik kapal selama empat hari. Kapal itu perlu melalui pusingan kedua ujian laut akhir tahun ini, sebelum penampilan pertamanya yang dijadualkan di Miami pada Januari 2024.