Elakkan Menggigit Kuku – Ini Kesannya Ke Atas Kesihatan
Lina Rosli
Terdapat segelintir individu dilihat mempunyai tabiat menggigit kuku – menjadikan kuku kelihatan tidak sekata dan tidak cantik jika dibandingkan dengan individu lain yang memotongnya menggunakan alat khas.
Untuk pengetahuan anda, tabiat gigit kuku ini dikenali sebagai onychophagia – yang merupakan satu tabiat biasa yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Namun begitu, jika tidak dibendung dari awal, tabiat gigit kuku ini akan dibawa sehingga ke dewasa.
Mengapa Anda Perlu Elak Daripada Menggigit Kuku?
Jawapannya adalah kuku merupakan kawasan anggota badan yang paling mudah dan kerap terdedah dengan kekotoran.
Dengan pelbagai tempat yang anda sentuh atau pegang – seperti di tombol pintu, cawan air, butang lif, kunci rumah dan juga meja kerja, pastinya akan ada banyak bakteria yang berpotensi wujud pada kuku dan tangan anda.
Dan sekiranya anda tidak membersihkannya dengan betul, apabila anda kerap memasukkan jari anda ke dalam mulut, sudah tentu ia boleh memberikan kesan buruk ke atas kesihatan.

Bukan itu sahaja, kesan paling utama jika anda kerap menggigit kuku adalah kerana tabiat ini boleh merosakkan kuku dan kulit di sekelilingnya sekaligus menyebabkan pertumbuhan kuku ke dalam kulit yang juga dikenali sebagai ingrown nails.
Apa itu ingrown nails? Ingrown nails atau kuku tumbuh ke dalam kulit yang biasanya berlaku apabila bahagian tepi kuku tumbuh dan menusuk ke dalam kulit di sekelilingnya. Keadaan ini biasanya terjadi pada ibu jari kaki dan boleh menyebabkan rasa sakit, kemerahan, bengkak serta jangkitan jika tidak dirawat dengan betul.
Antara punca utama kuku tumbuh ke dalam termasuk:
- Kerap menggigit kuku
- Memotong kuku terlalu pendek atau berbentuk melengkung
- Memakai kasut yang terlalu ketat atau sempit
- Kecederaan pada kuku atau jari kaki
- Faktor genetik yang menyebabkan bentuk kuku cenderung tumbuh ke dalam
Mengapa Tabiat Menggigit Kuku Ini Berlaku?
Tabiat menggigit kuku ini boleh berlaku apabila kanak-kanak mula menghisap jari pada satu-satu waktu. Kemudian, tabiat ini boleh melarat kepada amalan menggigit kuku sebagai ganti.
Menurut pakar, tabiat itu terbentuk dalam kalangan dewasa ini boleh berpunca daripada tindak balas kepada sesuatu perasaan. Menggigit kuku menjadi mekanisme bagi mengatasi rasa gementar, bosan, kesepian atau lapar.

Bahkah, ia juga biasanya dikaitkan dengan masalah emosi atau psikologi, termasuk:
- Kebimbangan
- Gangguan yang merujuk kepada penumpuan pemerhatian (ADHD)
- Gangguan yang merujuk kepada perubahan emosi seperti mudah marah dan membangkang (ODD)
- Kebimbangan perpisahan
- Gangguan Tic atau mengalami sindrom Tourrette.
Untuk pengetahuan anda juga, gigitan kuku patologi atau teruk, tidak terkawal adalah tingkah laku tertumpu berulang oleh badan (Body-focused repetitive behaviors – BFRB) yang paling biasa. Orang yang mengalami gangguan BFRB yang menggigit kuku mereka juga mungkin mempunyai tingkah laku berulang yang tertumpu pada badan seperti menggeser kulit dengan kulit atau menarik rambut.
Gangguan tingkah laku ini juga berkaitan dengan gangguan obsesif-kompulsif, dan sesetengah orang mempunyai kecenderungan genetik terhadapnya.

Mengapa Menggigit Kuku Tidak Baik Untuk Kesihatan Anda?
Tidak kira bila atau mengapa anda mula menggigit kuku, tabiat itu boleh menjadi sukar untuk dihentikan apabila ia terbentuk. Dan menggigit kuku berulang kali boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan jangka pendek, seperti:
- Masalah pergigian seperti gigi tidak sejajar
- Jangkitan kulat pada kuku
- Penyakit melibatkan sistem penghadaman
- Isu mulut, termasuk sakit rahang dan kecederaan tisu lembut
- Jangkitan kulit
- Kerosakan tisu pada jari, kuku dan kutikula
Namun, usah bimbang sekiranya anda mempunyai tabiat ini. Kerosakan jangka panjang akibat menggigit kuku jarang berlaku. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, sekiranya anda menelan bakteria berbahaya, ia boleh menyebabkan jangkitan perut atau usus.