Swarovski Mengambil Masa 150 Jam Untuk Menghasilkan Replika Kasut Kaca Cinderella
Lina Rosli
Baru-baru ini, Swarovski telah memperlihatkan replika kasut kaca Cinderella yang diperkenalkan sempena sambutan ulang tahun Disney yang ke-100 iaitu 100 Years of Wonder Disney atau lebih dikenali sebagai Disney100.

Sepanjang sambutan Disney100 berlangsung, terdapat pelbagai jenama yang telah melakukan kolaborasi bersama Disney termasuk Coach, Royal Selangor, Common Sense dan banyak lagi. Malah, di Thailan, Disney turut hadir dengan Disney100 VILLAGE menampilkan koleksi pameran berinspirasikan Disney, Pixar, Marvel dan Star Wars – semuanya dalam satu lokasi di Asiatique The Riverfront Destination di tengah-tengah Bangkok.
Bercakap mengenai kasut kaca Cinderella yang dihasilkan oleh Swarovski ini, ia merupakan projek kerjasama antara Disney dengan pengarah kreatif global Swarovski Giovanna Engelbert. Dan kedua-dua pihak ini telah memilih telah kasut kaca terkenal milik Cinderella (Lily James) yang dipertontonkan dalam filem “Cinderella” yang ditayangkan pada tahun 2015.

Apa yang menarik mengenai kasut kaca ini, ia mempunyai 221 aspek dan dipahat serta diukir daripada kristal sebenar iaitu Aurora Borealis. Kristal ini mempunyai ciri pemantul yang unik yang mana sekiranya dipantulkan dengan cahaya, ia akan memancarkan kilauan magis daripada kasut berkenaan.
Secara umumnya, sebanyak kira-kira 8 individu yang terlibat dalam menyiapkan kasut kaca Cinderella ini. Dan masa yang diambil untuk melengkapkan sepasang kasut, bermula dari rekaan hingga ke hasil ukiran akhir adalah kira-kira 150 jam.